Selangor lantik Hakim wanita Mahkamah Tinggi Syariah pertama di Malaysia

Selangor lantik Hakim wanita Mahkamah Tinggi Syariah pertama di Malaysia

Selangor menjadi negeri pertama melantik Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam kalangan wanita bagi mengukuhkan lagi peranan institusi kehakiman di negeri ini.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Noor Huda Roslan dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin di Istana Bukit Kayangan, di sini, laporan Selangorkini dipetik.

Pelantikan berkuatkuasa pada 27 Jun itu dibuat selaras dengan Subseksyen 58 (1) dan Sekyen 59 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Bercakap pada sidang media, Nenny Shuhaida berkata, tangungjawab diamanahkan kepada beliau akan dizahirkan secara telus dan adil.

“Ia peluang yang baik kepada pegawai syariah wanita di Malaysia, namun ia menjadi tangungjawab dan amanah yang berat untuk dilaksanakan.

“Namun kami akan menjalankan tugas ini dengan amanah dan adil kepada masyarakat secara amnya,” katanya kepada pemberita.

Sementara Noor Huda Roslan berkata, pelantikan tersebut menjadi pendorong kepada golongan wanita untuk lebih berdaya saing secara sihat dengan kaum lelaki.

“Untuk menjadi hakim itu bukan perlu diukur disebalik perbezaan gender, namun ia lebih menjurus kepada bagaiamana keupayaan seseorang itu untuk menguasai perundangan berkaitan syariah.

“Tidak kira lelaki atau perempuan jika individu itu mampu menggalas tugas diberikan, ia sudah tentu tidak menjadi masalah,” katanya.

Ditanya wujudnya tanggapan negatif sesetengah pihak berhubung pelantikan itu, Noor huda berkata stigma mengenai pertikaian tersebut perlu diubah bagi ke arah mengukuhkan lagi peranan institusi kehakiman negara.

“Dalam konteks mahkamah syariah di Selangor, bidang perundangan kita hanya tertumpu kepada isu takzir yang langsung tidak melibatkan hukum hudud.

“Fokusnya lebih tertumpu kepada isu kekeluargaan, harta dan hukum-dalam perkahwinan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)