Malaysia Dateline

Selangor miliki 1.8 juta kanak-kanak, paling tinggi di Malaysia dan diikuti Johor, 1.12 juta

Selangor memiliki jumlah bilangan kanak-kanak paling tinggi di Malaysia apabila merekodkan statistik sebanyak 1.8 juta kanak-kanak lahir di negeri itu.

Johor pula mencatat negeri kedua tertinggi sebanyak 1.12 juta dan diikuti dengan Sabah sebanyak 1.06 juta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Menurut Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor merekodkan 1.8 juta atau 25.8 peratus bilangan kanak-kanak daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri berkenaan.

“Bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun paling rendah pula direkodkan di Labuan dengan 0.03 juta. Jumlah kanak-kanak pada tahun ini meliputi 28.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara iaitu 32.65 juta.

“Bagi jumlah komposisi kanak-kanak bawah lima tahun pada tahun ini pula merekodkan sebanyak 2.39 juta atau 26 peratus daripada jumlah kanak-kanak di negara ini.

“Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur di bawah umur lima tahun masing-masing adalah 1.22 juta dan 1.17 juta,” kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, Mohd Uzir memaklumkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan meningkat 4.9 peratus kepada 6,144 orang pada tahun lalu berbanding 5,858 individu pada tahun sebelumnya.

“Kanak-kanak perempuan pula melebihi kanak-kanak lelaki iaitu masing-masing 4,005 orang dan 2,139 orang. Bilangan kes kumulatif orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar pada 2021 ialah 148,000 orang,” katanya.

Baca juga: Video Sultan Brunei pandu sendiri kereta sambil bawa Anwar di sebelah curi tumpuan ramai

Baca juga: Bertuah sungguh anak – Ibu terkesima anak mandi telur, laju sangat buat kerja ni