Selangor perlukan MB berpengalaman, kata Pengerusi PKR Terengganu

Selangor perlukan MB berpengalaman, kata Pengerusi PKR Terengganu
Amiruddin Shari

Negeri tonggak Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Selangor perlu dipimpin oleh seorang Menteri Besar yang berpengalaman dan mampu memahami keperluan dan sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, kelemahan Menteri Besar negeri itu, Amirudin Shari dalam menguruskan konsultansi atau majlis penerangan terutama membabitkan aspek perundangan telah membawa tafsiran tidak baik sekali gus menimbulkan konflik atau salah faham dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di samping parti komponen lain.

Beliau berpendapat, ribut politik antara Menteri Besar dengan DAP itu tidak sepatutnya berlaku jika Amirudin membuat penjelasan lebih awal mengenai usul pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam.

“Menteri Besar ketika ini merupakan yang kedua daripada kelompok orang muda. Kita tahu Selangor adalah negeri besar yang kaya dan memerlukan seorang Menteri Besar berpengalaman dan mampu memahami keperluan dan sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

“Saya harap perkara itu boleh dibaiki segera kerana harapan rakyat lebih mustahak daripada kepentingan kelompok politik kecil di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ibadah Korban PKR Terengganu di Dewan PKR pada Isnin seperti dipetik Utusanonline..

Baru-baru ini media melaporkan pergolakan pentadbiran kerajaan negeri Selangor apabila usul pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dikemukakan Amirudin tidak dapat dilaksanakan apabila Yang Dipertua Dun, Ng Suee Lim, yang juga wakil rakyat DAP bertindak memendekkan persidangan kepada dua hari sahaja.

Dalam pada itu, Azan menarik perhatian, Selangor memiliki ramai lagi kepemimpinan yang berpengalaman untuk mengetuai negeri itu di samping mampu memahami keperluan konsultansi secara inklusif.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan Menteri Besar bergantung kepada persetujuan atau penerimaan Sultan negeri masing-masing dan sekiranya ada keperluan untuk menukarkan Menteri Besar maka ia perlu dilaksanakan.

“Selangor tidak asing dengan kaedah pertukaran Menteri Besar selain daripada musim Pilihan Raya Umum (PRU) dan kita telah saksikan proses tersebut ketika zaman Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Amirudin.

“Saya tidak tahu keperluan (pertukaran) itu wujud atau tidak tetapi bagi pihak kepemimpinan parti sekiranya ada keperluan oleh pihak istana saya rasa perkara tersebut patut kita pertimbangkan,” katanya.