Malaysia Dateline

Selangor peruntuk RM6 juta untuk ujian saringan bersasar Covid-19

Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan sehingga RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar Covid-19 secara percuma kepada rakyat di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha berkenaan akan memanfaatkan sehingga 50,000 rakyat negeri selangor di bawah inisiatif Pakej Kita Selangor.

Menurutnya, pakej berkenaan akan memberi implikasi kewangan sehingga RM73.877 juta kepada kerajaan negeri.

“Program ini akan memfokuskan golongan sasar seperti warga emas yang berisiko tinggi khususnya di pusat penjagaan warga emas. Perincian hal ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

“Sehingga hari ini, kerajaan negeri telah melaksanakan sebanyak 19,976 ujian swab percuma di seluruh selangor,” katanya dalam sidang media khas sempena PKP 2.0

Selain itu beliau berkata, kerajaan negeri akan menambah baik fungsi home surveillance (pemantauan kendiri) Kit selangkah yang akan membntu pengawasan kendiri pesakit Covid-19 di rumah.

Kerjasama itu katanya, turut melibatkan hotline call centre 24 jam.

Pada masa sama Amirudin mengumumkan, Selangor akan memberikan bantuan makanan tengahari dan malam kepada semua para petugas barisan hadapan termasuk anggota keselamatan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan bantuan makanan kepada lebih 9,000 petugas perubatan di hospital serta pejabat kesihatan daerah di seluruh selangor.

Bantuan juga akan diperuntukkan kepada 3,500 anggota keselamatan terdiri dari anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang1 bertugas di sekatan jalanraya serta operasi pematuhan SOP seluruh selangor

Bagi mengurangkan beban petugas kesihatan, kerajaan negeri akan menyediakan Bas Selangor untuk kegunaan mengambil pesakit Covid-19 ke lokasi yang ditentukan oleh kementerian kesihatan.

“Kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan khas program mesra rakyat berjumlah RM100 ribu yang melibatkan perolehan makanan asas agar ia boleh dilaksanakan secara terus.

“Ahli Parlimen juga mendapat manfaat sebanyak RM50,000 untuk tujuan sama,” katanya.