Malaysia Dateline

Selangor rangkul emas pertama Para Sukma 2018

Pingat emas pertama Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 diraih atlet Selangor, Rosheedey Faizal Roslan selepas mengumpul mata tertinggi 1,108 jatuhan pin dalam acara tenpin boling perseorangan lelaki TPB8 (kerusi roda).

Rosheedey, 32, berkata kejayaan itu disifatkan pencapaian terbaiknya dalam sukan tersebut sekali gus menebus kekecewaan di Sarawak dua tahun lalu apabila sekadar memperoleh pingat perak.

“Ini pencapaian terbaik saya. Di Sarawak dua tahun lalu saya terpaksa akur memperoleh perak selepas tewas tipis kepada atlet tuan rumah dengan perbezaan lima jatuhan pin sahaja.

“Tahun ini, Alhamdulillah, saya dapat bermain dengan cemerlang,” katanya kepada Bernama pada hari pertama acara tenpin boling Para Sukma Perak 2018 di sini, hari ini.

Pingat perak acara berkenaan dimenangi atlet Melaka Zahidi Lamsah dengan 996 jatuhan pin, manakala Julaihi Khalik Lamat dari Sarawak meraih pingat gangsa dengan 973 jatuhan pin.

Dalam pada itu, acara perseorangan wanita TPB8 (kerusi roda), atlet Pahang Ruzila Mustafa mengungguli acara berkenaan selepas mencatat 854 jatuhan pin, mengatasi dua pemain Selangor Noor Lizah Salman (811) dan Nor Rasyidah Anum Mohamad (646).

Bagi acara perseorangan lelaki TPB2 (cacat penglihatan), pingat emas dimenangi Roni Tugiman dari Sarawak dengan 1,079 jatuhan pin, diikut Choo Kam Chan dari Kuala Lumpur (979) memenangi pingat perak, manakala gangsa milik Mohd Azmir Ariffin dari Selangor (973).

Sementara bagi acara perseorangan wanita TPB2, pingat emas dimenangi atlet Kuala Lumpur, Siti Hajar Hassan (804), Zalina Hassan dari Pulau Pinang meraih pingat perak (761) dan pingat gangga milik Nur Syahmina Aisyah Azmi (719).

Acara perseorangan lelaki TPB1 (cacat penglihatan-tiada penglihatan) pula menyaksikan Pulau Pinang meraih emas pertama menerusi Muhamad Hairul Miran dengan 735 jatuhan pin, Azhar Unkias dari Sabah meraih perak (649) dan gangsa juga milik atlet Sabah, Azuan Amir Hassan (639).

Acara sama bagi kategori wanita pula dimenangi Fazlina Mohd Pauzi dari Selangor dengan 520 jatuhan pin. Pingat perak dan gangsa tidak ditawarkan dalam acara berkenaan kerana hanya disertai dua atlet.

— BERNAMA