Selangor sasar 10 juta pelancong tahun ini

Selangor sasar 10 juta pelancong tahun ini

Kerajaan Selangor mensasarkan sepuluh juta pelancong dari dalam dan luar negara, dijangka memilih negeri itu sebagai destinasi percutian, pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Kebudayaan, Perbadaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata ini kerana pada tahun lepas, negeri maju itu mencatatkan kemasukan pelancong domestik dan luar negara sebanyak 7.25 juta orang.

“Selangor menyumbang kira-kira 28 peratus daripada 25.8 juta pelancong yang melawat Malaysia pada tahun lepas, yang mana jumlah resit pelancongan pula dianggarkan sebanyak 10 bilion.

“Disebabkan itu, kita akan menganjurkan pelbagai program, selaras dengan tahun melawat Malaysia 2020, selain kita membuat lawatan ke Berlin, Dubai dan Jepun untuk mempromosikan produk pelancongan di Selangor,” katanya selepas merasmikan Program ‘Rasa Bubur Lambuk Mega Warisan Selangor’ di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini.

Pada program yang dianjurkan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Tourism Selangor itu, sebanyak 20 periuk bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong antara pelbagai agensi dan menghasilkan kira-kira 5,000 pek juadah berkenaan diagihkan kepada warga Bandar Raya Shah Alam dan pengunjung sekitarnya.

Program yang dianjurkan buat julung kalinya itu bertujuan mengimarahkan lagi bulan Ramadan selain usaha mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.

Turut hadir pada program berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohd Fahim dan Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT), Datuk Paiman Keromo.

— BERNAMA