Malaysia Dateline

Selangor sasar kutipan RM1 Juta untuk Palestin

Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dan mensasarkan kutipan RM1 juta yang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa di Palestin.

Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari kutipan ini akan digerakkan dengan kolaborasi badan bukan kerajaan (NGO) dan akan dilaksanakan melalui sistem e-kerajaan yang akan meliputi sumbangan dari Ahli-ahli Dewan Negeri, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, syarikat swasta, individu serta sumbangan peribadi.

Katanya, kempen selama 10 hari ini akan dimulakan hari ini dan sumbangan-sumbangan ini akan dipertimbangkan pengecualian cukai mengikut syarat-syarat yang akan ditetapkan.

Ini merupakan usaha pertama yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan disalurkan melalui Global Peace Mission Malaysia secara terus kepada rakyat Palestin dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan pada waktu ini.

Tindakan tidak berperikemanusiaan  Israel dengan menyerang, memusnahkan harta benda, menceroboh dan membunuh rakyat Palestin tidak berdosa mengajak umat Islam khususnya di Malaysia untuk  bersolidariti bersama Palestin.

Dianggarkan, seramai 192 penduduk di Gaza terbunuh sepanjang serangan yang bermula sejak Isnin lepas itu.

Angka penduduk yang terkorban terus meningkat apabila serangan merebak ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sehingga meragut 17 lagi nyawa.