Malaysia Dateline

Selangor sedia beri pinjam vaksinnya kepada negeri lain

Kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk meminjamkan stok 500,000 vaksin yang dibelinya untuk kegunaan Selvax (Selangor Vaksin) kepada kerajaan Persekutuan, kata menteri besar Datuk Seri Amiruddin Shari.

Katanya, tindakan itu bertujuan bagi membolehkan ia digunakan di kawasan dan negeri yang mengalami peningkatan kes mendadak dengan kadar vaksin yang kurang.

Sebelum ini, Amiruddin memberitahu, Kerajaan Negeri Selangor akan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi pembelian lebih dua juta dos vaksin COVID-19 untuk kira-kira sejuta petugas barisan hadapan ekonomi negeri ini.

“Kerajaan negeri telah sediakan peruntukan RM100 juta dan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Selgate dan SelCare yang akan mengusahakan perkara itu, memerlukan paling minimum RM120 juta lagi. Maka lebih RM200 juta yang akan kita gunakan untuk proses perolehan vaksin,” katanya awal Jun lalu.