Malaysia Dateline

Selangor sediakan 50,000 dos untuk program vaksin bergerak

Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak 50,000 dos pelalian untuk program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak, kata Exco kesihatan Selangor.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata suntikan vaksin bergerak itu menggunakan bekalan dos Selvax Komuniti yang diberikan secara percuma kepada penduduk Selangor.

“Bagi program ini dua kenderaan digunakan iaitu bas bergerak iaitu 500 dos sehari dan klinik van bergerak yang dipinjamkan oleh Hospital Avisena yang mampu memberi suntikan 250 dos.

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menyatakan kesediaan untuk mengeluarkan lagi bekalan vaksin sekiranya peruntukan 50,000 dos ini habis digunakan,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Selangorkini, media kerajaan negeri itu.

Dr Siti Mariah turut menggalakkan orang ramai untuk berdaftar dan memberi nama di pejabat wakil rakyat masing-masing berbanding terus hadir ke lokasi Selvax bergerak.

“Sekiranya berdaftar di pejabat wakil rakyat mereka menerima baucar atau nombor dan slot disediakan berbanding hadir terus. Jika DUN yang mereka ingin daftar penuh boleh juga memberi nama di DUN berhampiran,” katanya.

Program Selvax bergerak diadakan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.

Untuk permulaan Selvax bergerak melibatkan 11 DUN bermula di DUN Bandar Baru Klang.

Program selama seminggu itu juga membabitkan DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.