Selangor selesaikan lebih 20,000 kes Mahkamah Syariah pada 2016

Selangor selesaikan lebih 20,000 kes Mahkamah Syariah pada 2016

 Mahkamah Syariah Selangor berjaya menyelesaikan 26,503 kes syariah di seluruh negeri itu sepanjang tahun lepas.

Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata daripada jumlah itu, 22,213 merupakan kes mal manakala 4,290 kes pula membabitkan jenayah syariah.

“Jumlah kes mal (bukan jenayah) yang direkodkan sepanjang tahun lepas termasuk hal berkaitan nikah, cerai dan kebenaran berpoligami adalah sebanyak 27,726 kes dengan 80 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

“Untuk kes jenayah syariah seperti khalwat dan persetubuhan haram pula, kita berjaya selesaikan hampir 68 peratus daripada 6,282 kes,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu mengatasi sasaran yang ditetapkan pihaknya iaitu masing-masing 75 peratus bagi mal dan 60 peratus untuk jenayah.



“Untuk tahun ini pula, kita yakin dapat menyelesaikan 90 peratus kes untuk kes mal dan juga jenayah susulan pencapaian yang baik dalam penyelesaian kes pada tahun lepas.



“Ini juga selari dengan misi kita dalam melaksanakan pengadilan dan pengurusan mahkamah syariah yang berkesan serta sistematik untuk rakyat,” katanya.

TAGS