Malaysia Dateline

Selangor sudah terima lebih 7 juta dos vaksin

Setakat semalam, Selangor telah menerima sebanyak 7,499,702 dos vaksin Covid-19 yang dibekalkan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Pfizer dan Sinovac masing-masing merekodkan perolehan dos melebihi 3 juta.

Pfizer 3,364,920 dos, Sinovac 3,874,982 dos, manakala Astra Zeneca pula sebanyak 259,800 dos.

Sementara itu dari aspek kumpulan sasar, Siti Mariah menjelaskan bahawa penerima-penerima vaksin adalah mengikut temujanji yang telah diberikan menerusi aplikasi MySejahtera yang telah dikoordinasi dengan jumlah vaksin yang telah dijadualkan.

“Fasa 1 (Februari-April 2021): Petugas Barisan Hadapan seperti kakitangan kesihatan dan bukan kesihatan.

“Fasa 2 (April-Ogos 2021): Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan rentan yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Dan Fasa 3 (Mei 2021-Disember 2021): Golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan Saari Sungib (AMANAH-Hulu Kelang) berhubung kuota vaksin, kumpulan sasaran dan penerima serta jadual penyerahan vaksin di Selangor yang dibekalkan kerajaan pusat kepada Negeri Selangor.

Beliau juga memaklumkan bahawa jadual penyerahan vaksin dari kerajaan pusat dibuat secara mingguan.