Malaysia Dateline

Selangor sumbang 60,000 kit ujian air liur percuma untuk keluarga positif Covid-19

Kerajaan Selangor hari ini sekali lagi menyumbangkan 60,000 kit ujian air liur secara percuma kepada keluarga di negeri itu yang didapati positif Covid-19.

Exco Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pemberian kit tersebut berperanan untuk menyokong pemantauan kendiri bagi keluarga yang disahkan positif serta diberikan arahan untuk menjalani kuarantin di rumah.

Beliau berkata, selain membantu kumpulan ini melakukan ujian saringan dengan cepat dan mudah, kit tersebut diharap dapat membantu individu melindungi orang sekeliling daripada dijangkiti.

“Melalui Selgate dan Selcare, kit ujian akan diserahkan kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di kesemua 56 DUN menerusi koordinasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Individu dan keluarga yang didapati positif akan dikesan melalui data yang dibekalkan oleh pihak JKNS kepada kesemua PKM yang terlibat,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Siti Mariah turut mengingatkan agar individu yang menerima kit ujian tersebut mematuhi kesemua prosedur yang digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antaranya beliau berkata, mereka hendaklah melaporkan sendiri keputusan ujian yang diperoleh sama ada positif, negatif atau tidak sah (invalid) ke dalam aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, hal ini penting agar KKM, PKD dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) boleh mengambil tindakan lanjut khususnya bagi mereka yang memperoleh keputusan
positif, mahupun individu yang dikesan negatif tetapi bergejala.

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini adalah selaras dengan cadangan Menteri Kesihatan pada semalam, yang ingin mempertimbangkan pemberian kit ujian kendiri secara percuma terutama kepada keluarga B40.

“Justeru, kerajaan negeri berharap agar pemberian kit ujian air liur ini akan memberi nilai tambah kepada usaha-usaha menangani wabak Covid-19 yang sedang dipergiatkan di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya lagi.