Malaysia Dateline

Selangor suntik RM200 juta selamatkan ekonomi, usahawan

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM200 juta ke dalam program ‘Selangor Advanced’ di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi, menjamin pekerjaan dan tahap pendapatan rakyat sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejak dilaksanakan tahun lalu, Selangor Advance telah memanfaatkan aliran tunai sebanyak 300 syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan berjaya menyelamatkan dan menjamin pekerjaan hampir 25,000 pekerja.

“Menyedari aliran tunai syarikat adalah penting bagi menampung perbelanjaan termasuk menyelamatkan pekerjaan kakitangan demi mengekalkan kelangsungan operasi syarikat, kerajaan megeri akan menyuntik dana tambahan ke dalam program Selangor Advance.

“Kerajaan negeri akan memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM200 juta yang akan disumbangkan oleh simpanan tetap tunai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, serta anak-anak syarikat kerajaan negeri bagi sama-sama meningkatkan sokongan di dalam ekosistem negeri,” katanya dalam perutusan sebentar tadi.

Amirudin berkata, jenis-jenis pinjaman yang akan ditawarkan adalah bagi tujuan pembiayaan rantaian bekalan am atau kontrak am, jaminan bank, surat jaminan kredit, surat akujanji atau surat sokongan, pembiayaan modal pusingan serta pembiayaan bercagaran dan terjamin.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 41,349 perniagaan dilaporkan gulung tikar pada tahun lalu, ekoran pelaksanaan PKP 1.0, menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pada kemuncak PKP 1.0, kadar pengangguran negara berada pada 5.3 peratus, iaitu yang tertinggi sejak tahun 80an.