Malaysia Dateline

Selangor tambah 1,300 katil di MAEPS, 300 katil dan wad ICU

Sebanyak 300 katil dan wad unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah di Selangor ekoran pertambahan mendadak kes harian Covid-19 di negeri itu sejak akhir Ramadan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah 1,300 katil juga akan ditambah di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengenai penambahan kelengkapan ICU dan jumlah katil bagi pesakit Covid-19 di Selangor.

“Kemudahan seperti 20 unit khemah lengkap dengan kipas, kerusi dan sistem P.A turut ditambahbaik di CAC Petaling iaitu Stadium Malawati sejak 16 Mei lagi untuk keselesaan orang ramai,” jelasnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketetapan baharu turut dibuat agar MAEPS Serdang hanya akan merawat pesakit dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja susulan keputusan mewujudkan PKRC di beberapa negeri lain di wilayah tengah seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa mengenai situasi Covid-19 di Selangor dan akan terus melaksanakan langkah-langkah proaktif di bawah kapasiti yang ada bagi menangani perebakan wabak ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan 150 sukarelawan terdiri daripada penjawat awam, penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), petugas perubatan SELCARE serta pelajar perubatan universiti swasta yang akan membantu kelancaran operasi di CAC terutama di Stadium Malawati.

“Pertambahan sukarelawan ini akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit Covid-19 serta penilaian pesakit,” katanya.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan angka kes Covid-19 tertinggi di negara ini dengan lagi 1,650 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 155,313 kes.

Dalam tempoh 14 hari lalu, 30 daripada 56 mukim di Selangor berstatus zon merah iaitu mencatatkan 41 kes ke atas manakala 11 mukim lagi zon kuning iaitu kurang 20 kes.

Sementara itu, lapan mukim lagi zon jingga iaitu mempunyai rekod 21 hingga 40 kes manakala hanya tujuh mukim dengan lima daripadanya dalam daerah Hulu Selangor tiada kes Covid-19 dikesan dalam tempoh dua minggu lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, kesemua mukim dalam daerah Petaling, Gombak dan Klang berstatus zon merah.

Sehubungan itu, Amirudin berkata kerajaan negeri turut bersetuju mewujudkan pusat panggilan yang akan dilaksanakan oleh sukarelawan perubatan bertujuan membantu mengurangkan beban di CAC bagi penilaian pesakit di rumah ataupun ‘home assessment’.

Mulai minggu hadapan, jelasnya, kerajaan negeri akan mewujudkan kaunter khas bagi tujuan pemotongan gelang atau penamatan kuarantin di rumah memandangkan 48 peratus pengunjung yang hadir ke CAC Stadium Malawati adalah bagi urusan terbabit.

“Ini bagi mengurangkan kesesakan di CAC Stadium Malawati serta pada masa yang sama mengurangkan risiko jangkitan kepada mereka yang telah tamat kuarantin,” tambahnya lagi.