Selangor tentang segala bentuk rasuah – Azmin Ali

Selangor tentang segala bentuk rasuah – Azmin Ali

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menentang sebarang bentuk rasuah, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam mentadbir negeri itu dan akan sentiasa mendukung prinsip itu.

“Jika terdapat bukti berlaku rasuah, kami mengalu-alukan pihak berkuasa relevan untuk mengambil tindakan perlu. Kami tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam sebarang salah laku,” katanya kepada pemberita selepas melawat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang di Georgetown, malam tadi.

Beliau mengulas penahanan bekas anggota Parlimen Kapar S. Manickavasagam semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima suapan RM30,000 daripada seorang kontraktor dan menipu wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beberapa orang kurang upaya.

Mengenai isu lain, Azmin menyangkal dakwaan Anggota Parlimen Kuala Selangor dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Irmohizam Ibrahim bahawa kerajaan negeri akan mengenakan caj RM600 bagi setiap pendaratan dan berlabuh di jeti di Selangor.

Azmin berkata kerajaan negeri merancang untuk membangunkan jeti yang kini dalam keadaan daif dan kebanyakannya beroperasi secara haram dan boleh menjejaskan keselamatan nelayan.

“Kami merancang selepas jeti dinaik taraf, kami akan serahkan kepada LKIM untuk menguruskannya,” katanya.

Isu itu dibangkitkan oleh Irmohizam dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas kira-kira 100 nelayan mengadakan protes di Jeti Batu 23, Sungai Besar, Selangor hari ini.

Terdahulu, Azmin dan Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Datuk Rashid Hasnon serta beberapa pemimpin PKR termasuk Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mat Akin; Naib Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin dan wakil rakyat Batu Maung Datuk Abdul Malik Abul Kassim melawat Ahmad Bashah.

“Kami gembira melihat Ahmad Bashah semakin sembuh dan kami doakan beliau akan pulih sepenuhnya supaya dapat menjalankan tugas sebagai Menteri Besar,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)