Kerajaan Selangor menerima sumbangan tong gas berjumlah RM1.1 juta dari syarikat petroleum terbesar, PETRONAS untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang terjejas di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain tong gas, Petronas turut menyumbangkan beberapa keperluan pembersihan.
“Menerima sumbangan berjumlah RM1.1 juta berupa tong gas dan keperluan pembersihan dari @Petronas.
“Sumbangan disampaikan Naib Presiden Pemasaran Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias. Sekalung penghargaan buat PETRONAS atas sumbangan buat mangsa banjir di Selangor,” ciapnya di Twitter hari ini.
Setakat semalam, KDEB Waste Management yang bertugas sebagai agensi pelaksana pembersihan telah mengeluarkan sebanyak 47,006.95 tan metrik sampah akibat bencana banjir yang melibatkan lapan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ribuan pekerja, lori dan jentolak telah digunakan bagi menyegerakan operasi pembersihan.
Setakat 6 Januari juga, sebanyak 15,174 keluarga telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan peruntukan RM15.234 juta