Malaysia Dateline

Iskandar Abdul Samad

Selangor tubuh jawatankuasa khas selesai isu peneroka bandar

Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu penempatan 573 peneroka bandar yang kini menduduki tanah kerajaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, semua peneroka berkenaan sudah dikenal pasti menduduki tanah yang boleh diberi hak milik.

Katanya, penyelesaian penempatan mereka bagaimanapun tertakluk kepada ulasan Jabatan Teknikal, lapor Selangorkini.

“Kerajaan Negeri melaksanakan pendekatan dan cara lebih berhemah dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Kita juga mengambil pandangan peneroka bandar sendiri sebelum penyelesaian secara menyeluruh dikenal pasti dan dilaksanakan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung isu peneroka bandar.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri turut menawarkan Rumah Selangorku kepada peneroka bandar yang layak.

Katanya, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi penyelesaian projek perumahan berstrata lama yang masih belum mendapat hak milik strata.

“Ia membabitkan Jawatankuasa Perumahan dan Pejabat Tanah Galian (PTG) Selangor,” katanya.