Malaysia Dateline

Selangor tubuh pusat sokongan anak istimema

Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan penubuhan Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat ANIS) dalam Majlis Penandatanganan Terma Rujukan (MoU) antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor serta Dr. Noraisah binti Spahat, Setiausaha Bahagian, Bahagian GENIUS (KPM).

Majlis ini turut disaksikan oleh Gan Pei Nei, Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Dr. Nil Farakh binti Sulaiman, Pengarah Pusat Genius Kurnia.

Melalui MoU ini, Pusat ANIS yang dikendalikan oleh YAWAS menjalinkan kerjasama dengan Pusat Genius Kurnia KPM bagi mendapatkan khidmat kepakaran dan runding cara.

Antaranya termasuklah menjadi pusat rujukan bagi Pusat ANIS, memantau modul dan kurikulum yang akan digunakan, memberi nasihat dan latihan bagi kakitangan ANIS serta memberikan khidmat kaunseling bagi ibu bapa yang memerlukan.

Dr Siti Mariah dalam ucapan beliau sempena majlis ini menyatakan, penubuhan Pusat ANIS selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan anak istimewa di Selangor dengan menyediakan perkhidmatan yang mampu diakses oleh golongan tersebut.

Katanya, sejak 2018 Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun bagi merancang dan melaksanakan program-program pemberdayaan anak istimewa termasuklah bagi menubuhkan pusat ini pada tahun ini.

Pusat ANIS menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan saringan, pengesanan awal dan intervensi bagi kanak-kanak istimewa seperti autisme, sindrom down, Attention Deficit Dyperactivity Disorder (ADHD), Global Development Delay (GDD) dan yang mempunyai masalah pembelajaran, berumur dua (2) hingga enam (6) tahun.

Pusat ANIS turut memberikan latihan dan kursus asas secara berterusan kepada ibu bapa, pendidik dan komuniti serta meningkatkan kerjasama tenaga pakar dan sukarelawan dari bidang psikologi dalam membangunkan proses intervensi yang komprehensif dan inklusif.