Malaysia Dateline

Selangor ubah fungsi aplikasi SElangkah, fokus jejak kontak rapat

Kerajaan Negeri Selangor telah mengubah fokus fungsi aplikasi SElangkah dengan memberikan penekananan kepada jenis penjejakan kontak rapat yang lebih menyumbang kepada kes positif di negeri itu, kata Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Disebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak berkongsi data dengan negeri itu, Beliau memaklumkan bahawa SElangkah telah membina pangkalan data ‘penjejakan kontak rapat tersendiri’ hasil maklumat individu daripada program Saringan Covid-19 yang dijalankan kerajaan negeri.

Tambahnya, Selangor juga menjejak kontak rapat dari maklumat temuduga pesakit di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) & Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang menggunapakai sistem SElangkah.

“(Selain itu, kerajaan) membina pangkalan data penjejakan kontak rapat tersendiri hasil maklumat temuduga secara maya pesakit yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Sehingga 8 Ogos 2021, seramai 164,354 individu telah dikesan merupakan kontak rapat melalui kaedah di atas.

“Kesemua maklumat yang diperolehi dikongsi bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor Task Force Covid-19 dan petugas serta sukarelawan daripada Greater Klang Valley Task Force,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Lau Weng San (DAP-Banting) yang bertanya sama ada kerajaan masih menjalankan pengesanan kontak melalui SElangkah dan bagaimana kerja-kerja tersebut dilakukan sekiranya tiada kerjasama dan perkongsian maklumat antara Kerajaan Selangor dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu Siti Mariah menjelaskan, fungsi dan peranan aplikasi SElanglah kini telah ditambah baik dan dipertingkatkan melalui beberapa aspek seperti menawarkan kemudahan digital bagi pendaftaran, penyertaan dan keputusan ujian Saringan Komuniti Covid-19 anjuran kerajaan negeri.

Kemudahan ini katanya, telah digunapakai hampir 44,640 rakyat yang telah disaring menerusi program-program saringan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, dengan lebih 2,312 dikesan positif dan dapat diasingkan lebih awal bagi memastikan tiada penularan dalam kalangan komuniti.