Malaysia Dateline

Zulhazmi Shariff

Selangor wajar pandu Malaysia lawan Covid-19

Seorang peguam, Zulhazmi Shariff berpendapat Selangor wajar memandu Malaysia dalam usaha melawan wabak Covid-19.

Menurutnya, model Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan kerajaan pusat termasuk darurat yang dikuatkuasakan, terbukti gagal malah menimbulkan kesan sampingan lain kepada ekonomi rakyat.

Kerana itu katanya, kerajaan Selangor mengutarakan empat cadangan kepada kerajaan pusat agar memberi jaminan dalam memastikan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi rakyat jika penutupan penuh dilakukan

“Sebenarnya dalam empat cadangan yang disebutkan, ada antaranya telah dilakukan oleh Selangor iaitu pelaksanaan saringan awam besar-besaran.

“Justeru angka positif yang dikesan meningkat. Tindakan ini dibuat untuk tujuan percepatkan proses pengesanan dan isolasi,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Pada semalam, Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad telah menegaskan bahawa sekiranya penutupan penuh dilakukan di negeri itu, ianya perlulah lebih bersasar, efektif dan berkesan.

Beliau menyenaraikan empat cadangan kepada kerajaan pusat antaranya pelaksanaan saringan besar-besaran, mempercepatkan proses vaksin kepada lebih ramai rakyat, mempercepat proses pengesanan dan isolasi, serta melindungi ekonomi golongan peniaga kecil dan rakyat terbanyak yang bakal terjejas

Sementara itu, Zulhazmi berkata, kerajaan Pusat perlu memberi perhatian kepada cadangan kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses vaksinasi rakyat.

Katanya, jika perlu untuk Selangor memperoleh vaksin bagi negeri itu, kerajaaan wajar izinkan.

“Selangor boleh memandu Malaysia melawan pandemik. Selangor melawan Covid-19 bukan darurat melawan Covid-19. Sekarang STFC hanya beri cadangan tetapi (kerajaan) Pusat dengan ego mereka tidak akan ikut.

“Buktikan strategi Selangor ini mampu barulah seluruh negara percaya inilah strategi yang berkesan untuk jaga negara.

“Sekarang juga majoriti sudah tidak percaya. (Kerajaan) pusat melawan Covid-19 tetapi tiada contoh untuk mereka lihat alternatifnya,” katanya lagi.