Malaysia Dateline

Selangor wartakan semula 486 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 486 hektar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk berbuat demikian dengan kadar segera.

“Keluasan ini melibatkan kawasan Kampung Orang Asli Busut Baru seluas kira-kira 42.05 hektar dan jajaran laluan Paip Air Mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas 8.58 hektar menjadikan keseluruhan kawasan yang akan diwarta semula seluas lebih kurang 486.07 hektar bersamaan 1,201.20 ekar,” jelasnya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Rapat Rahmah Ramadan Datuk Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS Shah Alam hari ini.

Untuk rekod, HSKLU terlebih dahulu diwartakan awal tahun 1920-an tetapi tahun lalu seluas kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta.

Keputusan yang dilihat menjejaskan habitat bagi spesies terancam bahkan spesies yang jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia itu mengundang banyak bantahan daripada pelbagai pihak.

HSKLU dengan keluasan asal seluas 957.63 hektar itu dihuni spesies jarang dijumpai antaranya, kelawar Small Disc Roundleaf Bat atau nama saintifiknya, Hipposideros orbiculus yang kali terakhir dijumpai pada 2007 di Rizab Hidupan Liar Sungkai.

Terdapat juga spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti ungka tangan putih dan lotong cengkong selain merupakan habitat semulajadi yang baik kepada spesies burung kawalan biologi seperti burung hantu.

Burung hantu yang berhabitat di hutan itu akan mencari makan di sekitar ladang-ladang sawit atau di pinggir hutan sekaligus mengawal populasi tikus-tikus perosak secara semulajadi.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/anwar-minta-amirudin-jelaskan-isu-nyahwarta-hutan-simpan-kuala-langat-pada-parti/

Baca juga: https://themalaysialife.com/dulu-wanita-sanggup-terima-selipar-jepun-sebagai-mas-kahwin-sekarang-kantoi-curang/