Malaysia Dateline

Mohd Amar Nik Abdullah

Selaras tarif air Kelantan belum buat keputusan

Kerajaan Kelantan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menaikkan tarif air, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, sejak 2013 tarif air di Kelantan disifatkan masih kekal ditahap sederhana berbanding negeri lain.

“Tarif air di setiap negeri tidak sama dan ia ditetapkan bergantung kepada kos pengurusan dan pengeluaran yang perlu ditanggung oleh pihak pengurusan air di negeri masing-masing.

“Hari ini kita mendengar taklimat yang disampaikan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) mengenai cadangan penyelarasan tarif air seluruh negara dan kami (Kelantan) belum ada apa-apa keputusan mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim hari ini.

Mohd Amar berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) untuk membuat semakan dan sekiranya perlu perkara itu akan diangkat dan diserah kepada kerajaan negeri.

“Setakat ini Kelantan berada di tengah-tengah dari segi kadar tarif air dan negeri yang terendah termasuklah Pahang dan Perlis,” katanya.

Sebelum ini pihak AKSB ada menyatakan kenaikan tarif air di Kelantan yang terakhir adalah pada September 2013 dan sepatutnya tarif air naik setiap tahun kerana mengikut kenaikan bahan mentah.

Namun begitu, kerajaan negeri tidak menaikkan tarif air kerana tidak mahu membebankan rakyat.- BERNAMA.