Selat Klang: Tidak sukar PH rampas kerusi dua penggal Pas, kata calon Bersatu

Selat Klang: Tidak sukar PH rampas kerusi dua penggal Pas,  kata calon Bersatu

Datuk Abdul Rashid Asari berkeyakinan tidak sukar untuk Pakatan Harapan merampas kerusi dua penggal  yang disandang bekas wakil rakyat Pas Dr Halimah Ali di N44 Selat Klang.

Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini bakal menyaksikan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selat Klang  akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Abdul Rashid Asari, Dr Halimah Ali dan Dr Mohd Khairi Hussin (BN).

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu ini, berkeyakinan tindakan Pas bersendirian dalam PRU14 disifatkannya akan membuka ruang kepada calon PH untuk menang lebih kerusi.

Justeru tidak mudah bagi penyandangnya Dr Halimah untuk terus kekal di Selat Klang untuk penggal ketiganya, jika melihat kepada Pas yang kini berjuang bersendirian.

“Setelah pemimpin kanan dan ahli Pas keluar parti tubuhkan AMANAH saya dapati sokongan terhadap Pas begitu terjejas. Ini kerana ramai pemimpin yang keluar dikalangan mereka yang berkaliber dan berpengaruh ketika mereka bersama Pas.

“Pengalaman saya di akar umb, saya sendiri bertanya pandangan mereka. Mereka tidak setuju Hadi (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bersekongkol dengan Umno. Mereka lahirkan perasaan marah dan kecewa mereka kepada saya.

“Saya yakin dalam PRU14 kali ini akan berlaku sama ada pengundi Pas tidak akan keluar mengundi atau mereka akan undi Pakatan Harapan atau mereka sengaja merosakkan undi kerana tidak dapat menerima perpecahan berlaku dalam Pas,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Selain itu Pas dan Gagasan Sejahtera yang dianggotai dan disokongan NGO pula, dakwanya, tidak mampu menyaingi kesepaduan sokongan parti itu ketika bersama Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13 lalu.

Abdul Rashid yang juga Setiausaha Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) dan turut menyertai beberapa NGO lain, mendakwa, kebanyakan NGO tidak ikhlas dalam sebuah perjuangan mana-mana parti tanpa menjaga kepentingan pertubuhan mereka.

“Untuk mana-mana parti yang mahu mendapatkan kekuatan dengan sokongan NGO,kita kena fahami ada NGo ditubuhkan untuk cari dedak.

“Saya mempunyai banyak pengalaman dengan NGO. Jika tiada dedak mereka akan tinggalkan begitu sahaja. Mereka kebanyakannya tiada keikhlasan sertai perjuangan parti.

“Inilah pengalaman yang pernah ditempuhi PPBM. Ada juga NGO yang mahu sertai kami, harapan mereka kami dapat bagi dana untuk gerakan sokongan ahli mereka untuk bersama PPBM.

“Sedangkan kita sebuah parti baharu tidak boleh sesuka hati untuk bagi dana kepada mana-mana NGO untuk mengharapkan mereka akan menyokong parti kita.

“Sedangkan dalam keadaan lain pula, saya juga dapati ada NGO yang begitu ikhlas berjuang tanpa harapkan apa-apa daripada parti,” ujarnya.

Pas sebelum ini dalam kenyataan Pengerusi Lajnah Mobilasi dan Hubungan NGO Pas Pusat Kamaruzaman Mohamad pernah berkata, melalui penyertaan 100 NGO Islam yang berikrar menyokong Pas dan Gagasan sejahtera dijangka akan membangkitkan momentum sokongan terhadap parti itu untuk PRU14.

Abdul Rashid Asari bersama jentera pilihan raya di Selat Klang yang terdiri dikalangan golongan muda.

Bekas Naib Ketua Bahagian Umno Kapar (1989-2013) ini berkata, dalam pertandingan tiga penjuru di Selat Klang beliau berkeyakinan sekitar 40,000 pengundi akan keluar mengundi bagi memastikan calon mereka menang pilihan raya.

Beliau yakin mendapat sokongan di Selat Klang yang kebanyakannya, ujar beliau, masih lagi ahli Umno tetapi tidak menyenangi terhadap kepincangan kepimpinan Umno membabitkan pelbagai isu selain dasar-dasar kerajaan Umno-BN.

“Saya masih ada lagi kawan-kawan dalam umno bukan semua suka pada kemungkaran dalam Umno. Mereka ini mengikuti perkembangan semasa dan memberi sokongan kepada PPBM

“Golongan dalam linguan 21 hingga 40-an mereka arif tentang perkembangan politik semasa berbanding golongan tua yang tegar menyokong Umno -ini susah kita nak tukar keyakinan mereka.

“Lebih 41,000 pengundi di Selat Klang saya harap mereka akan keluar mengundi. BN mungkin akan berlaku penipuan tetapi jika pengundi keluar beramai-ramai dijangkakan lebih 90% cubaan untuk menipu undi oleh BN, agak sukar.

“Pada dua penggal pilihan raya demografi di Selat Klang menunjukkan penentu kemenangan ialah pengundi Cina dari Pulau Ketam, Ban Hailam dan beberapa lagi kawasan.

“Pas menang di Selat Klang kerana sokongan kaum Cina di pulau ketam. Semasa BN menang (PRU11) pada masa itu kaum Cina di Pulau Ketam ada yang DAP dan MCA. Tetapi kita dapati kini kebanyakan mereka sudah memihak kepada DAP. Pulau Ketam antara penyumbang undi untuk Pakatan Harapan kali ini,” terangnya.

Pada PRU13 lalu peratusan pecahan kaum bagi N44 Selat Kelang bagi kaum Cina mewakili 66.4 peratus; Melayu 28.2 peratus dan India 4.8 peratus dengan 36,892 pengundi berdaftar.

Pada PRU14 sehingga  suku tahun kedua 2017 berlaku peningkatan pengundi sebanyak 10 peratus iaitu 3,840 kepada 40,732 pengundi

Parlimen Kapar yang mempunyai empat kerusi negeri iaitu Meru, Sementa,Sungai Pinang dan Selat Klang mempunyai seramai 164,177 pengundi berdaftar sehingga suku tahun kedua 2017.

Pastinya  jumlah pengundi berdaftar  meningkat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  mengunakan daftar undi  sehingga Suku Tahun keempat 2017 bagi PRU14 kali ini.

 

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0