Malaysia Dateline

Selayaknya YDPA buat penentuan segera tanpa tunggu usul di Parlimen

Penentuan keabsahan sokongan majoriti adalah penting dan tidak boleh ditangguhkan kerana ianya akan memberikan kesan besar terutamanya jika ada kes-kes mahkamah yang melibatkan keputusan Perdana Menteri atau Menteri.

Misalnya, kata Pengerusi Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (Kanun) Dr Zulqarnain Lukman kesilapan nama Mahiaddin kalau ditulis sebagai Muhyiddin juga telah menyebabkan perintah tahanan tidak sah maka apatah lagi jika orang itu sendiri tidak layak memegang jawatan.

Bahkan katanya, penangguhan sidang dalam bulan September akan memberikan kesan langsung kepada hal-hal bersangkutan dalam tempoh dua bulan ini termasuk pelantikan penting seperti senator atau hakim atau lain-lain.

Jelas beliau, jika Dewan Rakyat tidak dapat bersidang dengan segera kerana masalah Covid-19 maka selayaknya YDPA menggunakan autoriti kes Dato Seri Nizar Jamaluddin untuk penentuan keabsahan sokongan majoriti.

Katanya, YDPA boleh memainkan peranan untuk menentukan PM yang mempunyai sokongan majoriti itu boleh ditentukan secara sumber luar dan tidak perlu menunggu sehingga September.

“Berdasarkan kes Mahkamah Persekutuan itu, selain cara mengesahkan dalam Dewan Rakyat, YDPA boleh juga mengesahkan fakta hilang sokongan itu menerusi sumber luar (extraneous sources) yang terbukti seperti pengakuan PM sendiri atau representasi ahli-ahli Dewan,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berpendapat alasan pandemik Covid-19 untuk tidak membuat penentuan sokongan majoriti ini hanya akan mengakibatkan usaha untuk menangani Covid-19 akan menjadi lebih sukar.

“Kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan kepercayaan kepada kerajaan ini menjadi aspek penting untuk pembentukan polisi kesihatan awam, sekatan dan garis panduan SOP oleh rakyat.

“Contohnya, apabila Parlimen ditutup pada hari Isnin (2/8/2021) atas alasan ada kluster Covid-19 di Parlimen telah meragukan kepercayaan orang ramai kerana majoriti ahli parlimen telah menerima 2 dos vaksin,” katanya.

Justeru katanya, sekiranya YDPA dapat membuat penentuan segera tanpa menunggu usul percaya dikemukakan di Parlimen atau YDPA perlu menitahkan PM untuk memanggil segera Dewan untuk mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh yang terdekat.

Dalam perutusan khas Perdana Menteri pada hari ini (4/8/2021) menyatakan beliau menerima warkah YDPA memaklumkan 8 ahli parlimen Umno telah menarik sokongan daripadanya dan YDPA telah memetik Per. 43(2)(a) Perlembagaan (YDPA perlu melantik PM yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat) dan Per. 43(4) (Perletakan jawatan oleh PM yang hilang kepercayaan majoriti).

PM menghadap YDPA dan menyembah maklum bahawa beliau telah menerima surat akuan ahli-ahli Parlimen yang meyakinkan beliau bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan tidak berbangkit soal beliau perlu meletakkan jawatan.

PM menyembah maklum bahawa beliau akan membuktikan sokongan majoriti itu melalui usul undi percaya dalam Dewan Rakyat pada bulan September 2021.

Menurutnya, cara ini akan membuktikan kedudukan beliau sebagai PM dan PN sebagai kerajaan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.