Selebriti Indonesia pun tak setuju MasterChef mereka dakwa nasi kandar Malaysia berpasir

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi Indonesia, Raisa Andriana, 32 tidak bersetuju dengan kenyataan MasterChef Indonesia musim kelima, Stefani Harison yang mendakwa tekstur nasi kandar di negara ini agak berpasir.

Kata Raisa, dia sendiri selaku penggemar nasi kandar pasti aman menikmati hidangan itu setiap kali tiba di Malaysia.

Dia tidak menolak kemungkinan individu yang mengkritik nasi kandar di Malaysia berkemungkinan besar menjamu selera di lokasi yang tidak tepat sekali gus mengeluarkan kenyataan dan pendapat sedemikian.

“Mungkin, bila dia ke sini, dia makan di tempat yang salah sebab menurut saya, nasi kandar itu sangat sedap. Misalkan saya datang ke Malaysia, tak pernah saya tak makan nasi kandar.

“Makannya harus pakai tangan. Jangan makan gunakan sudu. Tak afdal. Pada pendapat saya, ia satu hidangan tempatan yang wajib dicuba. Sangat enak,” katanya menurut Harian Metro.

Raisa yang juga pencinta makanan meluahkan antara kerinduannya terhadap Malaysia adalah untuk menjamu selera nasi kandar.

Sebelum ini, Stefani Harison teruk dikecam kerana mendakwa nasi kandar di restoran miliknya lebih asli dan enak berbanding di Malaysia yang seolah-olah berpasir.

Baca juga: Datuk Aishah kongsi kejadian mistik, nasihat jangan benar orang tepuk belakang tanpa sebab