Selebriti motivasi didakwa guna jawatan untuk terima suapan

Selebriti motivasi didakwa guna jawatan untuk terima suapan

Seorang selebriti motivasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan menerusi penganjuran satu program ilmiah, tiga tahun lepas.

Tertuduh, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, 46, yang juga pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari di sebuah universiti awam di Shah Alam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Dia didakwa menggunakan jawatannya sebagai pensyarah gred DM54 untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan mendaftarkan syarikat Ryan Services dalam borang daftar khidmat runding melalui ‘Intergrated Consultancy Systems (ICONS)’.

Pendaftaran syarikat Ryan Services adalah untuk penganjuran program ‘International Syariah Compliant Idea, Invention, Innovation dan Design 2016’ sedangkan ia sepatutnya dilakukan oleh syarikat Education Services.

Mohd Nor dituduh melakukan kesalahan itu di universiti awam tersebut pada 29 Jun 2016 dan dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mohd Sabri membenarkan Mohd Nor dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohamad Suffian Ja’far sementara Mohd Nor diwakili peguam Fahmi Abd Moin.