Malaysia Dateline

Selepas 100 siri Kerajaan Gagal, patutkah saya teruskan

Semasa saya memulakan siri kenyataan media #kerajaangagal pada hari Ahad, 18 April 2021, saya tidak tahu berapa banyak kenyataan yang akan saya tulis.

Pun begitu, saya tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran untuk menulis kenyataan media #kerajaangagal ini, kadang-kadang sehingga dua atau tiga kenyataan sehari, menyentuh mengenai pentadbiran yang gagal dan kakistokratik, terutama dalam cara menangani wabak Covid-19.

Dalam masa kurang dari lapan minggu, saya telah menulis 100 kenyataan media #kerajaangagal semalam. Patutkah saya teruskan?

Saya akan menamatkan siri kenyataan media #kerajaangagal apabila Parlimen bersidang semula.

Selepas Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang terhadap kuasa Eksekutif untuk memastikan tadbir urus yang baik, yang efisien dan efektif serta mengangkat kedaulatan undang-undang sebagaimana yang dimaksudkan tokoh-tokoh awal negara dan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Saya tidak dapat mencerna bagaimana akal yang cerdas dan pintar boleh mengatakan bahawa kerajaan Muhyiddin Yassin telah melakukan yang terbaik dalam mengurangkan kesan wabak Covid-19.

Sedangkan jika sesiapa mengikuti 100 kenyataan #kerajaangagal akan tentu menemui bukti yang melimpah ruah tentang kegagalan kerajaan Muhyiddin dalam menangani penularan Covid-19 di negara ini sejak 18 bulan lalu, tidak kira dalam kategori jumlah kumulatif kes Covid-19 atau jumlah kes Covid-19 per sejuta penduduk.

Itu juga menjadi sebab mengapa Malaysia telah turun 19 anak tangga dari tangga ke-16 pada Januari 2021 ke tangga ke-35 pada Mei 2021 dalam senarai Bloomberg Covid Resilience Ranking, dan nampaknya akan jatuh ke kedudukan yang lebih rendah pada bulan Jun 2021.

Jika kita rujuk data global Covid-19 semalam, terdapat penurunan sebanyak 52.1% dalam kes baharu harian Covid-19 di seluruh dunia, sementara kes Covid-19 menurun dengan ketara di negara-negara yang sebelumnya dianggap sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam wabak Covid-19.

Amerika Syarikat (turun 95.2%), England (89.1%), India (78%), Perancis (94.6%), Itali (95%) dan Sepanyol (86.5%) dari puncak kes harian Covid-19.

Pun begitu, Malaysia dilihat menongkah arus trend dunia.

Dalam 23 hari terakhir sejak 19 Mei 2021, terdapat 20 hari di mana kita merekodkan puncak peningkatan kes baharu harian Covid-19 melebihi puncak kes yang direkodkan pada 30 Januari 2021, iaitu sebanyak 5,728 kes – sekaligus mewujudkan puncak baru dengan 9,020 kes Covid-19 pada 29 Mei 2021.

Malaysia telah diberi amaran bahawa peningkatan kes baharu harian Covid-19 boleh mencecah sekitar 13,000 kes.

Setakat ini, 3,684 orang telah terkorban akibat Covid-19 di Malaysia – 3,133 kematian dalam tempoh lima bulan darurat dilaksanakan bermula 11 Januari 2021 berbanding dengan 551 kematian dalam 12 bulan pertama sebelum pengisytiharan darurat.

Berapa banyak kematian yang boleh dielakkan akan berlaku sebelum wabak Covid-19 berakhir, lebih-lebih lagi melihat kepada penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di Malaysia yang kini berada pada tahap kritikal?

Semalam, kita merekodkan 73 kematian akibat Covid-19 yang mana lebih tinggi berbanding di United Kingdom yang mencatatkan tujuh angka korban akibat wabak itu.

Perlu diingatkan bahawa negara tersebut pernah mencatatkan angka korban seramai 1,823 orang pada 20 Januari 2021.

Justeru itu, saya berasa amat terkejut apabila ada individu dengan minda yang cerdas dan pintar tidak dapat melihat kegagalan teruk kerajaan hari ini dalam menguruskan penularan wabak Covid-19.

Tetapi saya bersetuju sepenuhnya bahawa tumpuan negara sekarang adalah untuk memulihkan negara ini daripada bahana wabak Covid-19, menerusi usaha mempercepatkan program imunisasi, yang mana memerlukan sokongan semua rakyat Malaysia dan parti politik bagi menjayakan agenda bersama ini.

Memanggil sidang Parlimen adalah langkah pertama untuk memastikan Malaysia cepat pulih daripada penularan wabak Covid-19 dan menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kakistokrasi.

Saya memulakan siri kenyataan media #kerajaangagal dengan menyeru Menteri Kesihatan, Adham Baba, agar berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka.

Jika tidak, beliau patut letak jawatan! Namun nasihat saya ini tidak diendahkan, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Adham berkata yang gelombang keempat Covid-19 di Malaysia tidak akan berlaku melainkan sekiranya kes domestik dan jangkitan tempatan turun ke kadar sifar dalam gelombang ketiga semasa sebelum kadar ini kemudiannya meningkat mendadak.

Saya berhujah bahawa Malaysia mungkin akan berhadapan dengan nasib yang lebih baik dan terlepas daripada gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19 ini (apatah lagi gelombang keempat) sekiranya Langkah Sheraton tidak menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang sah, berkebolehan, dan demokratik pada hujung Februari 2020.

Sebagai meraikan siri kenyataan media #kerajaangagal yang ke-100, adalah molek untuk saya kembali melihat prestasi Adham Baba.

Pelantikan Adham Baba sebagai Ahli Pengarah Lembaga Eksekutif (EB) Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya menimbulkan banyak keraguan dalam kalangan rakyat Malaysia ekoran kenyataan “air suam” yang dikeluarkannya sebelum ini.

Malah baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menafikan laporan berita yang memetik Adham Baba sebagai berkata bahawa perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara mungkin dilanjutkan selama 14 hari lagi berikutan kes masih melebihi 5,000 sehari yang mana melebihi nilai ambang yang disasarkan iaitu purata 4,000 kes ke bawah dalam tempoh tujuh hari, sambil menyifatkannya sebagai “palsu”.

Adakah PKP 3.0 akan disambung lagi selepas 14 Jun?