Malaysia Dateline

Selepas 11 hari sembuh Covid-19, Rina sembang dekat ziarah rakyat

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun baharu 11 hari sembuh daripada Covid-19.

Bagaimanapun, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan dilihat tidak mematuhi prosedur amalan standard (SOP) ditetapkan kerajaan, dalam menangani gelombang ketiga penularan pandemik itu.

Walaupun memakai pelitup muka, dia dilihat gagal mematuhi penjarakan fizikal semasa menziarahi keluarga angkat kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut berbual dalam jarak dekat dengan Norlida Abu Hasan iaitu ibu angkat kepada Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7.

Kunjungan menteri Bersatu itu ke Melaka berlangsung ketika negeri tersebut mencatatkan pertambahan lagi 153 kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,575 kes.

Rina, 47, dan ibunya sembuh daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang ke rumah pada 20 Januari lalu setelah menjalani rawatan dan tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Beliau sebelum itu disahkan positif Covid-19 pada 10 Januari lalu diikuti ibunya keesokan harinya.

Rina antara empat menteri yang dijangkiti Covid-19 selain Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noorhisham Abdullah dalam sidang media dan kenyataan akhbarnya sejak setahun lalu kerap mengingatkan pentingnya SOP termasuk menjaga jarak dijadikan sebagai norma baharu.

Penegasan kepada pematuhan SOP termasuk mengelak kawasan sesak dan terkurung serta jangan bersosial pada jarak dekat menjadi keutamaan ketika wujudnya virus mutasi D614G yang lebih mudah dan cepat merebak.