Malaysia Dateline

Selepas 12 hari dirawat, Tok Pa pulih Covid-19

Selepas 12 hari disahkan positif Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sembuh dari wabak itu.

Ahli Parlimen Jeli itu yang bakal berusia 71 tahun pada 25 September nanti dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, 4.30 petang semalam.

Berkongsikan pengalamannya dirawat, beliau yang dikenali sebagai Tok Pa memberitahu hal paling mencemaskan ialah semasa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ditempatkan di ICU selama tiga hari ekoran mengalami sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.

Bagaimanapun, dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat serta keyakinan penuh kepada ketentuan Allah SWT, keadaan beliau beransur pulih.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada 4.30 petang ini saya dibenarkan keluar hospital.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua staf Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya di HRPZ II, ahli keluarga, sahabat handai dari seluruh pelusuk tanah air yang beri kata kata-kata semangat, ucapan dan doa,” katanya.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau juga, Tok Pa berkata, pada masa ini dirinya perlu lebih banyak berehat, kurangkan bekerja dan tidak boleh bertemu ramai orang.

Tok Pa antara 30 ahli politik yang sah dijangkiti Covid-19 bermula sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau menasihati seluruh masyarakat agar selalu memakai pelitup muka, menggunakan pembersih tangan, mengamalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelindung muka.

Tegasnya, amalan-amalan tersebut hendaklah dijadikan amalan sepanjang masa sehingga pandemik Covid-19 benar-benar pulih.

“Pengajaran: pandemik ini ketentuan Allah SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua. Sepanjang pandemik Covid-19, kita perlu menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi.

“Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini.
“Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kami, pemimpin-pemimpin kami dan semua rakyat daripada Covid-19,” katanya.

Tok Pa turut berharap agar seluruh rakyat berdiri teguh di belakang kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak penguatkuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan.