Malaysia Dateline

Selepas 19 hari terpisah dari dunia luar, Da’i Syed cipta lirik lagu dalam lokap

Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau dikenali sebagai Da’i Syed memberitahu dia sempat menulis lirik lagu ketika berada dalam lokap.

Dia yang dibebaskan selepas melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya itu berkata, lagu tersebut dikarang semasa di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.

“(Lagu) menceritakan seseorang yang mencari hakikat kebahagiaan tetapi dicemuh, diseksa, jiwanya meronta-ronta.

“Ini yang saya dapat tulis semasa duduk dekat dalam (Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang),” kata Da’i Syed dalam temubual pertamanya kepada media petang semalam.

Syed, 25, yang merupakan bekas peserta Da’i Pendakwah Nusantara (Musim 4) pada 2016 itu turut menunjukkan beberapa helaian kertas bertulis tangan yang dikatakan mengandungi lirik lagu ciptaannya itu.

“Saya meluahkan meronta-ronta sedih ini dengan menulis lirik lagu.

“Sejak kecil hingga belajar ke Mesir… dalam lagu ini akan menceritakan 1,001 kisah dalam hidup saya,” ujar pelakon drama waktu Maghrib, Cinta Sekali Lagi di TV3 itu.

Ditanya tentang pengalamannya terpisah dari keluarga dan dunia luar selama 19 hari,  berkata, pendakwah berimej rambut panjang itu redha dengan apa berlaku.

“Saya kadang-kadang duduk termenung dan bertanya kepada Allah kenapa Allah bagi ujian kepada saya begini.

“Mungkin Allah nak tegur, beri peringatan kepada saya. Saya menerima dalam keadaan redha,” katanya.

Dalam masa sama, Syed tidak berdendam dengan pihak yang sebelum ini mengecamnya ekoran pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii, mencabul kehormatan dan merogol itu.

“Saya tidak berdendam dengan orang. Saya pun mengikut prosedur pihak polis dan mahkamah.

“Saya terima hakikat dan kita ikut prosedur mahkamah,” ujar pemilik laman sosial Instagram yang menggunakan nama @daisyed_ dengan 326,000 pengikut itu.

Pendakwah selebriti itu juga mengakui seronok berada bersama banduan kerana boleh beribadat bersama-sama mereka.

“Duduk dalam pun seronok juga boleh dapat jumpa dengan orang, boleh sembahyang awal waktu secara berjemaah dengan banduan,” katanya lagi.

Sementara itu, peguam bela selebriti itu, Syed Amirul Syed Edros berkata, bayaran ikat jamin anak guamnya dilunaskan oleh abangnya, Syed Shah Iqram dan pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar.

Menurut Syed Amirul, kegagalan anak guamnya membayar ikat jamin selepas didakwa di kedua-dua mahkamah berkenaan pada 10 Disember lalu menyebabkan dia ditahan.

Pada 10 Disember lalu, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya, dan pada hari yang sama di Mahkamah Shah Alam pula dia menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.

Di Mahkamah Petaling Jaya, dia dikenakan ikat jamin RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tarikh 19 Februari ditetapkan untuk sebutan semula kes, manakala di Mahkamah Shah Alam dia dikenakan ikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada tarikh 25 Januari depan.