Malaysia Dateline

Selepas 21 tahun dibina, Menara TM mahu dijual

Selepas siap dibina pada 2001, Menara TM yang merupakan aset milik Telekom Malaysia Bhd (TM) dijual pada harga yang tidak didedahkan.

Khabar penjualan pencakar langit rekaan Hijjas Kasturi itu tersebar apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengeluarkan satu iklan tersebut hari ini.

Iklan itu memaklumkan tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan bangunan dengan 55 tingkat itu adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac depan.

Bangunan ikonik berdekatan Universiti Malaya (UM) itu dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi.

Menurut iklan itu lagi, Menara TM juga memiliki pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.

Terletak di pusat koridor KL Sentral-Bangsar, menara berbentuk rebung itu juga mempunyai lebih 1,700 lot parkir selain berdekatan dengan laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.