Malaysia Dateline

Selepas 35,000 hektar sawah hilang, Kedah akan ambil langkah kawalan

Kerajaan negeri Kedah akan mengambil langkah bagi membendung pengambilan tanah sawah untuk pembangunan komersial yang kini dianggarkan seluas 270,000 hektar.

Dalam tempoh 10 tahun lalu, seluas kira-kira 35,000 hektar kawasan sawah padi di negeri itu ditukar kepada pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Azman Nasrudin berkata, inisiatif tersebut sekali gus mempertahankan Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan negeri akan membuat penelitian berhubung isu tersebut bagi menyelamatkan kawasan bendang terutama yang dimiliki individu.

“Sebagai contohnya, kita mungkin meletakkan kriteria sejumlah hektar tanah tidak boleh diganggu gugat demi memastikan kelangsungan sawah padi,” dipetik Mingguan Malaysia hari ini.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan kerajaan pusat untuk mengambil langkah lebih menyeluruh dalam usaha mengekalkan kawasan sawah seterusnya menjaga pengeluaran beras negara.

Ekoran kehilangan 35,000 hektar kawasan tanaman padi di Kedah, pengeluaran padi di negeri itu juga dianggarkan merosot kira-kira 350,000 tan setahun bersamaan RM420 juta.