Selepas 4 tahun, Adun Kamunting masih gagal selesaikan isu sampah

Selepas 4 tahun, Adun Kamunting masih gagal selesaikan isu sampah

Sikap tidak prihatin terhadap masalah kebersihan yang dihadapi oleh penduduk bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kamunting amat mengecewakan.

Ia telah berlarutan sejak empat tahun yang lalu serta tidak mampu diatasi oleh pihak berkuasa tempatan.

Keluhan ini diluahkan oleh Timbalan Ketua AMANAH kawasan Taiping, Prof. Ir Dr Mohd Fadhil Nuruddin ketika ditemui di Pejabat AMANAH kawasan Taiping kelmarin.

Jelas beliau lagi, seharusnya pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera dengan meletakkan tong-tong sampah di tempat yang menjadi tumpuan penduduk.

“Tidak ada gunanya hanya papan tanda denda dan saman yang diletakkan, sedangkan pihak berkuasa tidak menyediakan keperluan penduduk.

“Ke mana perginya wakil rakyat BN yang mewakili Dun Kamunting, sedangkan masalah ini telah berlarutan sejak empat tahun yang lalu.

“Pelbagai aduan telah dibuat oleh penduduk, namun begitu sehingga kini sama ada Adun maupun Ahli Majlis Perbadaran seolah-olah tidak prihatin terhadap masalah tersebut,” jelasnya lagi.

Prof. Ir Dr Mohd Fadhil Nuruddin

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Integrasi Nasional AMANAH Negeri Perak turut berkata, masalah yang berlaku di Kampung Pinang ini merupakan salah satu daripada masalah rakyat yang belum dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Kita ingin tahu ke mana perginya Ahli-Ahli Majlis Perbandaran yang mewakili kawasan Taiping.

“Kegagalan ini membuktikan secara jelas mereka yang diberi kuasa dan kepercayaan untuk menjadi Ahli Majlis Perbandaran tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna.

“Akhirnya kehidupan rakyat tidak selesa, bau busuk dan mencemarkan alam sekitar serta menyakitkan mata yang memandang,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Pakatan Harapan (PH) Taiping turut memberi tawaran khas bagi Dun Kamunting menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Malah katanya, selain memastikan keseluruhan Dun Kamunting berada dalam keadaan bersih, PH Taiping turut menawarkan penyediaan pusat khidmat masyarakat yang mesra dan efisien.

“Di samping itu kita turut menawarkan infrastruktur yang lebih baik dan selamat.

“Perumahan rakyat mampu milik dan kampus pendidikan tinggi turut akan diwujudkan di Dun Kamunting.

Antara tawaran PH Taiping untuk Dun Kamunting, Taiping PRU yang akan datang.

“Ini merupakan antara tawaran yang dibuat bagi mengatasi pelbagai kelemahan yang tidak mampu diselesaikan oleh BN walaupun tempoh pemerintahan mereka selama lima tahun akan berakhir tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

Dalam PRU13 yang lalu BN telah berjaya memenangi Dun Kamunting dengan mendapat 11784 undi dengan menewaskan Pas yang memperolehi sebanyak 10,897 undi.

Tambahnya lagi, dengan majoriti sebanyak 887 undi yang berjaya diraih oleh BN dalam PRU13 yang lalu bukan suatu kesukaran bagi PH untuk merampas kerusi tersebut pada PRU14 nanti.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES