Malaysia Dateline

Selepas 45 individu positif Covid-19, pemilik kedai nasi kandar dipenjara lima bulan, denda RM12,000

Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu hari ini akhirnya dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster baharu pandemik Covid-19.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun selepas sekurang-kurangnya 45 individu didapati positif Covid-19 membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga.

Mohd Hadi menjatuhkan hukuman itu terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, pada sesi pertuduhan khas yang diadakan di Hospital Lama Alor Setar, tempat tertuduh dikuarantin selepas didapati positif Covid-19.

Nezar Mohamed dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis Bank Rakyat Cawangan Jitra pada 4.40 petang; di premis Agro Bank Cawangan Jitra pada 3.58 petang; di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3.35 petang dan di premis Public Bank Cawangan Jitra pada 3 petang, 14 Julai lepas.

Terdahulu, Nezal ditahan polis pada 23 Julai lepas ekoran ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari Sivagangga, India pada 13 Julai lalu.

Lelaki terbabit yang berstatus penduduk tetap dikesan orang ramai memakai gelang merah jambu berada di kedainya ketika diwajibkan menjalani perintah kuarantin 14 hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nezar Mohamed dijatuhi hukuman penjara lima bulan, menjadikan jumlahnya 20 bulan, bermula hari ini dan denda RM,3000 bagi setiap pertuduhan dan hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zabidah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan rakyat agar tidak melanggar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya tertuduh telah menyebabkan kesihatan awam terjejas dengan tercetusnya kluster Sivagangga pada 28 Julai lepas, melibatkan tiga daerah di Kedah (Kubang Pasu, Kulim, Padang Terap), satu daerah di Perlis (Kangar) dan dua daerah di Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah).

“Ekonomi negara juga terjejas kerana Kluster Sivagangga telah menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM1 juta di kawasan TEMCO (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar) daerah Kubang Pasu sahaja dan menyebabkan keresahan dan kebimbangan kepada masyarakat umum,” jelasnya lagi.