Selepas 5 tahun penyanyi, Datuk Aishah menuntut hadiah sebidang tanah lot banglo yang dimenangi ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017 akhirnya selesai.
Beliau bersyukur kes itu akhirnya menemui jalan penyelesaian yang sekian lama dihadapnya walaupun pada awalnya dia enggan kes terbabit di bawa ke mahkamah.
Namun demi menuntut hak yang dijanjikan dia terpaksa berbuat demikian.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57 berkata jika diikutkan hatinya dia tidak mahu kes ini dibawa sehingga ke mahkamah tapi apabila cuba berunding dengan pihak penaja terbabit selepas lapan bulan dari tarikh kemenangan, mereka minta diberikan masa.
“Saya tunggu dan beri masa lebih kurang enam bulan. Malangnya ketika saya hubungi selepas itu tiada sebarang jawapan daripada pihak berkenaan sehingga terpaksa teruskan kes ini di mahkamah.
“Saya buat semua ini supaya bakal-bakal penaja tunaikan apa dijanjikan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Aishah, tiada istilah tamak kerana dia hanya menuntut hadiah yang sepatutnya diberikan kepadanya.
“Ini bukan cerita mengenai tamak atau minta melebihi apa yang dihebahkan. Apa hadiah yang dikongsikan itu saja yang kami tuntut,” katanya.
Malangnya jelas Aishah perkara ini perlu berjalan selama bertahun-tahun dan akhirnya baru selesai dan berharap apa yang berlaku ini menjadi peringatan kepada semua pihak yang berkenaan.
Terdahulu, Aishah memuat naik video ucapan wakil peguam dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates yang menjelaskan pihak penaja bersetuju membuat bayaran kepada Aishah.
Peguam yang mewakili Aishah iaitu Mohammad Izwan Azmi menjelaskan, pihak penaja hadiah berkenaan tampil dengan satu dokumen tawaran penyelesaian dan dipersetujui oleh Aishah sendiri.
“Tahniah kepada Datuk Aishah kes ini selesai. Terdapat ‘proposal settlement’ daripada pihak penaja dan Aishah sendiri sudah bersetuju.
“Ada bayaran yang perlu dibuat dan beberapa tindakan perlu dilakukan oleh pihak penaja,” katanya.
Dalam masa sama, Izwan berterima kasih kepada Aishah kerana mempercayai firma guamannya itu.
Pada GV4, Aishah dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik Liza Hanim dan Lan Solo.
Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.
Bagaimanapun timbul isu apabila penaja tidak memenuhi apa yang dijanjikan sebaliknya mahu memberi sebidang tanah yang saiznya lebih kecil berbanding lot banglo itu.
Baca juga: Dua anak kandung diratah ‘binatang’ – Bapa hidap lima penyakit dipenjara 428 tahun, 240 kali sebatan
Baca juga: MAQIS rampas 55 tan daging kerbau tanpa tulang bernilai RM871,000