Malaysia Dateline

Selepas 57 tahun merdeka, air, elektrik masih belenggu penduduk Sarawak

Masalah air dan elektrik adalah antara dua masalah asas yang masih membelenggu penduduk di Sarawak.

Kebanyakan rakyat dan penduduk terutamanya yang tinggal di luar bandar dan pedalaman sering menghadapi dua isu itu walaupun sudah 57 tahun mengecapi kemerdekaan.

Bagi Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak, Fadillah Sabali (gambar), keadaan tambah buruk apabila musim kemarau pada April sehingga September dengan penduduk hanya bergantung harap simpanan air hujan dalam tangki dan tidak kurang juga menggunakan air perigi dan sungai sebagai alternatif lain.

“Bayangkan hari-hari penduduk terpaksa menggunakan air minuman botol yang dibeli sebagai bekalan untuk memasak dan minum, malah keadaan ini semakin sukar ketika menyambut perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol berkaitan di kawasan pesisir di Sarawak yang belum menerima pembangunan yang setimpal.

Justeru, beliau sangat menyokong kenyataan ADUN Semop itu agar peruntukan pembangunan ditambah lagi supaya dapat mempercepatkan transformasi kawasan pedalaman khususnya di kawasan pesisir di Sarawak.

“Saya tidak menafikan banyak projek yang diumumkan akhir-akhir ini untuk menyelesaikan isu yang berbangkit seperti air dan elektrik. Ia sangat bagus malah “better late than never”.

“Contohnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, saya sendiri melihat ada banyak perkembangan yang positif sejak tahun 2016.

“Jika sebelum ini saya sempat melalui jalan-jalan yang hanya dapat dilalui oleh motosikal, kini penduduk di utara Pulau Bruit boleh berterima kasih kepada mereka yang bertanggungjawab kerana dapat menyiapkan jalan raya yang pada saya selesa walaupun banyak hal yang masih boleh diperbaiki,” tegas Fadillah.

Jelasnya lagi, infrastruktur seperti jalan-jalan dalam kampung, jambatan, dewan serbaguna dan sebagainya berubah dengan mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini berbanding sebelum ini.

Ujar beliau, dengan pembinaan jambatan Batang Paloh dan Batang Muara Lassa yang menggunakan sepenuhnya peruntukan dana negeri ini menunjukkan kemampuan negeri untuk melaksanakannya.

“Itu pun cuma hanya setelah Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Persekutuan dan ia tidak berlaku pun pada zaman Barisan Nasional (BN),” kata beliau.

Sebelum itu, Abdullah Saidol yang juga merupakan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak menegaskan agar kawasan pesisir di negeri ini diberi hak pembangunan setimpal.

Ini kerana, katanya kawasan pesisir adalah penyumbang utama ekonomi Sarawak dalam sektor pertanian dan perikanan.