Selepas 61 tahun, Pos Sinderut dikunjungi menteri persekutuan

Selepas 61 tahun, Pos Sinderut dikunjungi menteri persekutuan
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Dewan ORang Ramai RPS Betau semalam.-Foto FB Anwar Ibrahim.

Penduduk Pos Sinderut, antara sembilan pos Orang Asli di Parlimen Cameron Highlands, boleh menarik sedikit nafas lega, selepas aduan mereka didengar terus kerajaan pusat yang turun melawat ke perkampungan mereka hari ini.

Lawatan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh ke Kampung Tual, sebuah daripada 18 kampung di pos berkenaan, turut disertai Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tok Batin Kampung Tual, Harun Siden, 43, dalam ucapan aluannya menarik perhatian bahawa ini merupakan lawatan pertama pemimpin kerajaan pusat ke pos berkenaan sejak 61 tahun lepas.

“Sebelum ini tak ada YB (Yang Berhormat) hadir ke pos ini,” katanya.

Kampung berkenaan yang terletak kira-kira 30km di kawasan pedalaman memerlukan masa kira-kira sejam 30 minit untuk tiba dari tepi jalan Sungai Koyan-Raub melalui jalan berturap, namun sempit dan berlubang di beberapa bahagian jalan.

Menurut Harun, kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan harus menempuh jalan dan tempoh masa yang sama untuk mendapatkan rawatan di klinik terdekat, selain tidak mempunyai langsung rangkaian telekomunikasi.

Sebagai respons, Anwar yang membuat penampilan sulung membantu jentera PH berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ketika berucap di hadapan penduduk kampung itu percaya segala aduan dan hasrat disuarakan itu diambil maklum Lim yang akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau, bagaimanapun berkata pendekatan kerajaan PH berlainan daripada kerajaan BN yang sebelum ini gemar menjanjikan pelbagai projek ketika berkempen pada sesuatu pilihan raya.

“Dia (Lim) nak umum projek tak boleh sebab PH ini cara dia lain. BN, dia datang dekat pilihan raya dia umum projek. Menteri Kewangan kita ini dia tak umum projek tetapi percayalah kita menang kita akan buat lebih baik,” katanya.

Ditanya pemberita mengenai peluang PH memenangi PRK itu selepas parti berkenaan dikaitkan terlibat dalam politik wang sebaik kempen bermula, Anwar menegaskan perkara seumpama itu tidak boleh dilakukan oleh mana-mana parti.

“Tanpa mengira parti mana pun soal penggunaan jentera kerajaan, pengunaan wang tidak boleh dilakukan,” katanya ringkas.- BERNAMA

Ceramah Perdana Pakatan Harapan di Dataran Felda Koyan 1 yang diadakan semalam yang membariskan beberapa menteri kabinet Pakatan Harapan.-Foto FB Anwar Ibrahim.