Selepas 8 bulan dan menjelang muktamar, Pas saman Sarawak Report

Selepas 8 bulan dan menjelang muktamar, Pas saman Sarawak Report

Setelah lebih lapan bulan, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya memfailkan prosiding fitnah (defamation proceedings) di Mahkamah Tinggi London dan menyerahkan saman terhadap Pengasas dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang berpangkalan di London.

Dalam satu kenyataan media enam perenggan, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, saman itu dikemukakan untuk mendapatkan sejumlah ganti rugi dan perintah injunksi berikutan penyiaran artikel dalam laman sesawang Sarawak Report bertarikh 6 Ogos 2016 bertajuk  “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many other Criminal Connections”.

“Artikel tersebut termasuklah kenyataan yang boleh difahami bahawa Presiden Pas secara peribadi telah menerima atau mendapat atau meluluskan penerimaan sejumlah besar rasuah daripada Perdana Menteri Najib sebagai pertukaran untuk berkompromi dalam hal pendirian politik Pas.

“Segala tohmahan-tohmahan tersebut adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali. Tohmahan dan dakwaan rasuah seumpama ini jelas merosakkan dan menjejaskan reputasi seseorang seperti Presiden Pas, yang amat komited dengan proses demokrasi sejak sekian lama di mana falsafah politik serta segala tindak tanduk beliau jelas menggambarkan beliau berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan ajaran Islam,” kenyataan itu dipetik.

Menurut Takiyuddin, Presiden Pas telah melantik dan mengarahkan peguamnya yang berpangkalan di London, Carter-Ruck untuk menghantar Surat Aduan (Letter of Complaint) kepada Rewcastle Brown pada akhir tahun 2016 bagi meminta artikel tersebut dibuang dan menyiarkan pernyataan maaf.

Namun tambah beliau, Rewcastle Brown telah gagal sama sekali untuk memberi respon kepada aduan tersebut, sebaliknya telah membuat beberapa kenyataan awam yang merumitkan lagi keadaan.

“Dengan mengambil kira keadaan fitnah yang amat berat ini, Presiden Pas tidak akan membiarkan tohmahan fitnah ini berlalu begitu sahaja tanpa dicabar, dengan demikian tiada pilihan lain melainkan mengambil tindakan Mahkamah di Mahkamah Tinggi London, bagi membetulkan keadaan yang  dengan teruknya menjejaskan reputasi beliau di Malaysia dan Singapura, begitu juga di England dan Wales,” katanya.

Desakan agar Pas mengambil tindakan mahkamah terhadap Sarawak Report semakin memuncak apabila Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan bekas timbalan presiden Pas Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa sebagai individu yang menerima dana dari akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dana tersebut bersumberkan anak syarikat 1MDB, SRC International dan diyakini disalurkan ke akaun para pemimpin Pas.

Pas akan mengadakan muktamar tahunannya pada 26 hingga 28 April ini di Alor Setar, Kedah.

COMMENTS

Wordpress (0)