Malaysia Dateline

Selepas 91 tahun, Madrasah Aljunied Singapura lantik mudir wanita pertama

Madrasah Aljunied, institusi pendidikan Islam terulung di Singapura mencatat sejarah penting sepanjang 91 tahun penubuhannya apabila melantik mudir wanita pertama awal tahun ini.

Ustazah Khairiana Zainal Abiden menjawat naib pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah selama sembilan tahun sebelum dilantik sebagai pengetua atau mudirah.

Khairiana mula berkhidmat sebagai guru matematik di Madrasah Aljunied sekitar 20 tahun lalu, mula menerajui pucuk pimpinan institusi yang bertapak di Victoria Lane itu bermula Januari ini.

Sebagai pengetua ke-14 Madrasah Aljunied, Ustazah Khairiana berkata, misi dan visi institusi tersebut tetap sama iaitu melahirkan pemimpin agama yang berkualiti tinggi.

Madrasah Aljunied kini mempunyai 670 pelajar dan 50 guru.

Dalam era moden hari ini, wanita berwawasan berusia 45 tahun itu mahu merubah pendekatan yang diambil untuk memastikan pelajar kelahiran Madrasah Aljunied mengikut peredaran masa.

“Pemimpin agama yang datang daripada Madrasah Aljunied akan lebih relevan, canggih, progresif, berilmu dan bukan sahaja mahir dalam bidang akademik berbentuk ukhrawi sahaja, malah bidang-bidang lain juga,” ujarnya positif.

Ibu dua anak yang mempunyai latar belakang sekular itu tidak menyangka diberi kepercayaan menggalas tanggung jawab berat tersebut.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Tanjong Katong Teknikal dan Maktab Rendah Nanyang itu terpanggil berkhidmat menjadi guru matematik di Madrasah Aljunied ekoran komen ‘pedas’ yang dilemparkan seorang mahasiswa.

Rakannya itu dilaporkan berkata, tiada guna membuang masa mengajar di madrasah kerana madrasah tiada masa depan.

“Saya rasa seakan ‘terpukul’ dengan kata-kata tersebut.

“Jika bukan kita yang ke hadapan untuk mempelopori usaha ini, siapa lagi? Justeru saya menyahut cabarannya dan mula berkhidmat di Aljunied,” kata lulusan Sarjana Muda Matematik NUS itu dalam wawancara dengan BeritaHarian.sg.