Selepas 97 kes jual tanah, kini 176 projek pula terpaksa diselesaikan

Selepas 97 kes jual tanah, kini 176 projek pula terpaksa diselesaikan
Khalid bersama KSU dan Datuk Bandar KL dalam sidang media hari ini.

Selepas selesai 97 transaksi jualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi isu, kini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad terpaksa berdepan dengan 176 projek yang terhenti kerana bertentangan dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020.

Dalam sidang medianya hari ini, Khalid berkata, kesemua projek itu kini dibincangkan oleh Pusat Sehenti Setempat (OSC) yang dipengerusikan sendiri oleh beliau.

“Kita dah selesaikan 102 projek dan ada 74 projek lebih lagi untuk kami selesaikan,” kata Khalid.

Menurut Khalid, kesemua projek itu terpaksa dikaji satu persatu kerana setiap satunya mempunyai masalah tersendiri.

“Ada beberapa projek yang terpaksa kami tolak walaupun dibenarkan sebelum ini dan bayar balik harga tanah kepada pemaju kerana pembangunan itu tidak sesuai,” kata Khalid.

Dalam sidang media yang sama Khalid juga memaklumkan beliau akan menyelesaikan kes kesemua projek ini secepat mungkin bagi memastikan pembangunan tidak terhenti.

“Kita memang pro pembangunan dan cuba sebaik mungkin,” kata Khalid.

 

NAMA KEMENTERIAN

Berhubung dengan isu nama kementerian beliau yang dikatakan mungkin akan bertukar lagi, Khalid berkata ia bukan menjadi prioriti beliau buat masa sekarang.

Ini kerana banyak isu lain yang perlu beliau tangani terlebih dahulu.

“Kita mungkin terpaksa ubah nama kementerian kerana selepas Plan Malaysia, Lanskap Negara dan Pejabat Tanah dan Galian masuk di bawah kementerian ini, kita bukan menguruskan Wilayah Persekutuan sahaja tetapi seluruh negara hatta Sabah dan Sarawak,” katanya.

 

LEMBAGA PENASIHAT DBKL

Dalam sidang media hari ini juga Khalid memaklumkan, nama lapan ahli Lembaga Penasihat DBKL telah dikenalpasti dan telah diluluskan oleh Perdana Menteri dan Yang Dipertua Agung.

“Kini kesemua nama ini sedang dinilai oleh pejabat Peguam Negara sebelum mereka dibuat perlantikan secara rasmi,” kata Khalid.

Menurut Khalid, kesemua lapan calon ini terdiri dari golongan profesional walaupun dicalonkan oleh parti politik dan badan-badan kerajaan.

Mereka terdiri dari peguam, arkitek, perancang bandar bahkan juga jurutera, kata Khalid.

“Kita akan umumkan nama-nama mereka dalam masa terdekat selepas semua proses selesai,” katanya menjangka akan mengumumkan nama lapan ahli itu bulan ini juga.

 

BAS GO KL

Dalam sidang media yang sama, Khalid juga memaklumkan DBKL telah diberikan masa dua minggu untuk menyiapkan laluan baru bas GO KL yang memberikan khidmat percuma kepada warga Kuala Lumpur.

Ini berikutan, pengendalian bas itu diserahkan kepada DBKL selepas ia dikendalikan oleh SPAD (Suruhanjaya Perkhidmatan Pengangkutan Darat) sebelum ini.

Menteri Kewangan dalam Bajet 2019 baru-baru ini memaklumkan DBKL telah menyiapkan bajet sebanyak RM20 juta untuk mengendalikan bas ini pada tahun 2019.

SPAD membelanjakan RM12 juta setahun sebelum ini.

Bajet dinaikkan untuk membolehkan laluan baru diliputi oleh bas yang memberikan khidmat dari rumah ke stesen LRT atau MRT dan juga dari situ ke pejabat-pejabat kerajaan.