Malaysia Dateline

Selepas 99 budak maut, ubat sirap perosak buah pinggang ini dilarang jual

Indonesia melarang penjualan beberapa ubat sirap yang mengandungi ramuan dikaitkan dengan penyakit buah pinggang akut (AKI) selepas 99 kes budak maut.

Menteri Kesihatan Indonesia berkata, pihaknya sedang menyiasat peningkatan kes kematian dalam kalangan kanak-kanak tahun ini dan yakin jumlah sebenar kes itu mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Menurut Budi Gunadi Sadikin, sirap Paracetamol yang digunakan untuk merawat demam bagi kanak-kanak itu mengandungi bahan toksik iaitu dietilena glikol dan etilena glikol.

Jelasnya, dipetik Awani, dietilena glikol dan etilena glikol dikesan dalam ubat sirap yang ditemui di rumah beberapa pesakit tetapi beliau tidak mendedahkan bilangan mereka.

Sementara itu, Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia berkata, produk keluaran syarikat berkenaan tidak dijual di negara itu.

BPOM memaklumkan, lima daripada 26 ubat sirap yang diuji agensi itu mengandungi tahap etilena glikol yang berlebihan.

Walau bagaimanapun, BPOM berkata, pihaknya tidak boleh membuat kesimpulan bahawa produk berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya dan menjadi punca kepada penyakit itu.

Agensi itu juga mengarahkan syarikat pengeluarnya menarik balik ubat tertentu daripada pasaran dan memusnahkan semua baki yang masih ada.

Indonesia telah mengenal pasti 206 kes kanak-kanak dengan komplikasi AKI yang mana 99 daripadanya adalah kes kematian yang direkodkan bagi tahun ini.

Selain Indonesia, Gambia turut menyiasat kes kematian kanak-kanak kerana AKI yang dikaitkan dengan sirap Paracetamol selepas 70 kes maut dicatat di negara itu.

Sementara itu, India sedang giat melakukan siasatan berhubung ubat sirap tersebut yang dikeluarkan oleh syarikat berpangkalan di New Delhi, Maiden Pharmaceuticals.

Baca juga ‘Benda simple tapi boleh melupuskan manusia tak berakal’

Baca juga Tak sah cuti kalau tak hadap jem, 1.9 juta kenderaan guna lebuh raya Deepavali ini