Malaysia Dateline

Selepas Agong mahu Parlimen bersidang segera, Bersatu gelar PH “kelompok binatang politik”

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menggelar pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) sebagai “kelompok binatang politik” susulan desakan agar Mahiaddin Md Yassin meletakkan jawatan jika gagal menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka semula Parlimen secepat mungkin.

Tegasnya, kelompok binatang politik terbabit sengaja menjadikan kenyataan Istana Negara semalam sebagai modal untuk mengalihkan perhatian rakyat di negara ini yang sedang bergelut dengan penularan Covid-19.

Walhal, katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha bersungguh-sungguh hampir 24 jam bersama para petugas barisan hadapan untuk menjayakan agenda pemulihan negara sambil mengimbangi tuntutan pelbagai pihak.

Faiz juga menyifatkan “kelompok binatang politik” itu bagaikan menangguk di air yang keruh dengan cuba memutar-belitkan kenyataan dari Istana Negara seolah-olah Parlimen patut dibuka sekarang.

Menurutnya, desakan tersebut juga tidak mengambil kira situasi wabak Covid-19 yang masih mengganas serta mengancam semua pihak tanpa mengira siapa.

“Amatlah tidak bertanggungjawab kelompok binatang politik tersebut yang mahu Parlimen dibuka sekarang sungguhpun mereka tahu kadar vaksinasi nasional belum mencapai liputan 50 peratus populasi negara.

“Sedangkan mereka tahu kadar vaksinasi yang sedang diusahakan kerajaan makin hari makin meningkat kepantasannya. Tidak bolehkah mereka bersabar sedikit masa lagi?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis Presiden PH menggesa Mahiaddin meletakkan jawatan jika gagal menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka semula Parlimen secepat mungkin.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Meneruskan luahan berangnya, Muhammad Faiz mendakwa kenyataan dari Istana Negara juga langsung tidak menyebut bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekarang gagal dalam melaksanakan tanggungjawab.

Malah, katanya, Istana Negara tiada pula melayan sebarang cadangan untuk membentuk Majlis Gerakan Negara (Mageran) atau Pilihan Raya Umum (PRU) dalam waktu terdekat atau sebarang bentuk penukaran kepimpinan negara dari yang sedia ada.

Tambahnya lagi, apa yang diinginkan pihak Istana Negara kini adalah kerjasama semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing untuk menangani wabak Covid-19.