Malaysia Dateline

Selepas ahli mesyuarat positif Covid-19, KSN pula jalani kuarantin kendiri

Selepas seorang ahli mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara pada 3 Oktober lalu disahkan positif Covid-19, Tan Sri Mohd Zuki Ali menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan kuarantin kendiri di kediamannya hingga 16 Oktober ini.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini, beliau memberitahu, hasil ujian pengesanan Covid-19 terhadapnya adalah negatif dan kini menjalani kuarantin kendiri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya telah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan Alhamdulillah, keputusannya adalah negatif. Saya akan meneruskan kuarantin kendiri sebagaimana disarankan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, situasinya pada masa ini, jelasnya, tidak mengganggu urusan pentadbiran perkhidmatan awam kerana beliau akan bekerja dari rumah dan memanfaatkan aplikasi digital dalam pelaksanaan tugas seperti sidang video bagi siri mesyuarat yang dipengerusikan atau dihadirinya.

Dalam masa sama, Mohd Zuki mengingatkan ketua jabatan agar memberi pelepasan khas daripada bertugas atau kebenaran bekerja dari rumah kepada pegawai yang disahkan mempunyai simptom jangkitan atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

Hal tersebut, katanya, seperti dinyatakan dalam Garis Panduan Pengendalian Isu-Isu Berhubung Penularan Jangkitan Wabak Covid-19 di premis kerajaan bertarikh 16 Mac lalu.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam dan petugas barisan hadapan supaya tidak mengingkari prosedur operasi standard (SOP) selain tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

“Saya ingin mengajak seluruh penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan untuk terus tabah dan bersemangat dalam memberikan khidmat bakti yang terbaik dalam keadaan yang penuh mencabar ini.

“Patuhi SOP dan budayakan norma baharu sama ada dalam pelaksanaan tugas mahupun kehidupan seharian,” kata Mohd Zuki lagi.