Malaysia Dateline

Selepas AMANAH, DAP pula guna logo Warisan untuk PRN Sabah

DAP Sabah akan menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam pilihan raya negeri Sabah, kata pemangku pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam satu kenyataannya semalam.

Keputusan ini dibuat oleh DAP selepas seminggu Parti Amanah Negara (AMANAH) memutuskan akan menggunakan lambang Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 26 September ini.

Sehingga kini, PKR akan menggunakan logo mereka sendiri dalam pilihan raya ini dan akan bertanding 14 kerusi berbanding 8 kerusi dalam pilihan raya umum yang lalu.

Keputusan DAP Sabah kemudiannya disahkan oleh DAP Pusat.

“Demi memulihkan konsep asas bahawa “kuasa rakyat” lebih besar daripada “wang adalah raja” (cash is king), DAP telah memutuskan untuk menggunakan logo bersama seperti yang diminta oleh jawatankuasa negeri DAP Sabah.

“Ini adalah keputusan yang sukar bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti.

“Demi menghormati kehendak Jawatankuasa Negeri DAP Sabah, ahli dan penyokong kami di Sabah, saya dengan ini mengumumkan bahawa semua calon DAP Sabah akan bertanding di dalam pilihan raya negeri di bawah panji Parti Warisan Sabah,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagi beliau, pertaruhan politik sekarang terlalu tinggi.

“Kita tidak boleh kalah di dalam pilihan raya negeri Sabah. Hanya pakatan yang bersatu dapat memperoleh kemenangan besar bagi kita dan sekutu dalam Warisan Plus untuk menghantar satu mesej yang jelas,” katanya

Sebelum ini, DAP Sabah dalam kenyataan mereka telah memutuskan untuk menggunakan logo Warisan dalam pilihan raya ini.

“Ia satu yang menyedihkan untuk tidak menggunakan lambang Roket yang menjadi logo tradisi DAP tetapi inilah perkara yang betul untuk dibuat,” kata Frankie dalam satu kenyataannya.

Menurut beliau, DAP telah mencapai kata sepakat untuk menerima cadangan yang dibuat oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar mereka menggunakan logo yang sama.

“Bagi DAP Sabah, keputusan ini membuktikan kesungguhan untuk membuktikan penyatuan di kalangan parti Warisan Plus oleh rakyat Sabah,” katanya.

Warisan Plus akan menggunakan simbul Warisan iaitu perahu ‘Lepa Lepa’ sebagai simbul bersama dalam pilihan raya ini.

SPR telah menetapkan Sabtu 12 September ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian adalah pada 26 September.

Usaha Tan Sri Musa Aman dan rakan-rakannya untuk menyekat pilihan raya ini dari diadakan telah ditolak oleh mahkamah.