Malaysia Dateline

Selepas bah besar membadai Pahang, hulu Sungai Lembing digondol untuk projek ladang

Walaupun baru sahaja dilanda banjir besar dengan menyebabkan banyak kemusnahan harta benda penduduk dan hasil tanaman, aktiviti penggondolan hutan di Pahang didakwa masih diteruskan.

Seorang pengguna Facebook menerusi kumpulan Kaki Hutan sebentar tadi berkongsikan gambar kerja tarah hutan yang didakwanya berlaku di kawasan hulu Sungai Lembing.

“Ini di hulu Sungai Lembing dalam proses digondolkan untuk dijadikan ladang. Tebang habis. Tiada otak punya MB (Menteri Besar). Ini kawasan tadahan air,” kata Norizman Mohamed.

Penebangan balak di Hulu Sungai Lembing pernah dilapor mencemari beberapa sungai sehingga menyebabkan siasatan menyeluruh dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Jabatan Perhutanan negeri.

Mentiga Corporation Bhd, syarikat pelesen yang bertanggung jawab menebang dan membawa keluar balak di Hulu Sungai Lembing berkata, pihaknya sedia untuk disiasat JAS negeri.

Pada 2018, dilaporkan kira-kira 500 hektar hutan di Hulu Sungai Lembing ditebang secara berleluasa tanpa mengambil kira kesan alam sekitar dan impak kepada industri pelancongan di kawasan sekitar.

Bulan lalu, banjir besar di Pahang ibarat lautan ‘teh tarik’ dengan puluhan ribu mangsa banjir di Pahang dipindahkan ke lebih 200 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.

Sebahagian besar penempatan penduduk musnah selepas tenggelam dengan air naik melepasi paras bumbung kediaman.

Sebelum ini pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer menegaskan banjir yang melanda di negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya Pahang tidak akan seteruk sekarang, jika penggondolan hutan terutama aktiviti pembalakan dilakukan secara terancang dan terkawal.

Bagaimanapun, Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang dalam reaksinya menyebut hujan lebat luar biasa hampir serentak di seluruh negeri itu punca sebenar banjir teruk yang melanda sejak awal tahun baharu ini.

Dalam masa sama, kerajaan negeri mengakui aktiviti pembalakan masih menjadi sumber ekonomi negeri tetapi katanya, ia dilakukan secara terkawal.

Laporan muka depan akhbar BH pada 11 Januari 2021.