Selepas banjir kilat di P.Pinang, 10 pusat pemindahan banjir dibuka di Perlis, Kedah

Selepas banjir kilat di P.Pinang, 10 pusat pemindahan banjir dibuka di Perlis, Kedah
GAMBAR HIASAN... Banjir mula melanda Kedah dan Perlis.

Sebanyak lapan pusat pemindahan dibuka setakat pukul 10.30 malam tadi di Perlis, menempatkan 496 mangsa daripada 136 keluarga berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di negeri ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Negeri Perlis (JKM) berkata daripada jumlah itu, dua pusat ditempatkan di Kangar yang melibatkan Sekolah Kebangsaan Bintong dan Sekolah Kebangsaan Panggau.

Sementara itu, sebanyak empat pusat pemindahan dibuka di Padang Besar melibatkan Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup,Chuping; Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan, Beseri dan Maktab Rendah Sains MARA Beseri, serta Dewan Orang Ramai Titi Tinggi, katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, dua pusat pemindahan dibuka di Arau iaitu, Dewan Orang Ramai Kampung Guar Halban, Tambun Tulang dan Dewan Kampung Titi Besi, Guar Sanji.

Kesemua mangsa turut dibekalkan dengan keperluan asas seperti makanan, bantal, selimut, lampin dan sebagainya, katanya.

Di SUNGAI PETANI, dua pusat pemindahan dibuka di daerah Kuala Muda bagi menempatkan 292 mangsa banjir daripada 60 keluarga dari dua kawasan, di sini, malam tadi.

Penyelaras Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Kapten Pertahanan Awam Saifuddin Abdullah berkata, pusat pemindahan pertama dibuka pada pukul 5 petang semalam di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil, Mukim Bukit Meriam.

“Manakala pusat pemindahan kedua dibuka di Dewan Kampung Jilid 8 di Mukim Bujang pada pukul 8 malam tadi.

Seramai 261 mangsa daripada 53 keluarga ditempatkan di SK Bukit Kechil, dan 31 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Jilid 8,” katanya.