Selepas banyak subsidi dimansuh, warganet rindu harga ayam zaman PH

Oleh ARIF ATAN

Selepas kerajaan pimpinan Ismail Sabri memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol, gambar Datuk Saifuddin Nasution Ismail memegang tanda harga ayam semasa menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kembali tular.

Rata-rata orang ramai membandingkan bagaimana kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini lebih berjaya mengawal kenaikan harga barangan berbanding kerajaan BN-PN pada masa sekarang.

Walau bagaimanapun, ada yang menyindir peningkatan inflasi makanan ekoran pemansuhan barangan makanan itu tidak menjadi hal asalkan kerajaan Melayu ‘Isley’ yang memegang kuasa di Putrajaya.

“Barang dapur murah tak penting. Yang penting kerajaan BMF (Buy Muslim First) yang memerintah,” tempelak Hisham Fauzi.

Tindakan kerajaan tidak akan meneruskan kawalan harga siling ayam, telur ayam serta subsidi minyak masak botol bagi isipadu dua, tiga dan lima kilogram mulai 1 Julai ini juga ibarat ‘hadiah’ kepada rakyat.

Hal ini memandangkan, semasa PH diberi mandat menjadi kerajaan, sentimen sempit perkauman dan agama dicanang.

“Isu kaum dan agama yg dimainkan akhirnya berbayar dengan penghapusan menggila subsidi-subsidi untuk rakyat,” tegas Adam Lokhman.

Tidak kurang juga yang secara sinis mengaitkan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dilancarkan Ismail Sabri pada Oktober tahun lalu.

“Tak tau nak cakap apa dah. Kita ‘kan Keluarga Malaysia,” tulis Shah Purie Bakar.

Dalam masa sama, ada yang menyarankan Ismail Sabri mengumumkan bulan Julai sebagai Bulan Barang Naik Keluarga Malaysia.

“Saya mencadangkan agar Perdana Menteri Malaysia mengumumkan Bulan Julai ini sebagai Bulan Barang Naik Keluarga Malaysia. Kalau boleh bagi cuti sehari,” sindir Haziq Jamil.

Baca juga ‘Mansuhkan’ terus 70 menteri tak guna, rakyat Malaysia berang minyak sawit tiada subsidi

Baca juga Wanita sebak lihat budak darjah 6 ponteng sekolah sebab nak bantu keluarga