Malaysia Dateline

Selepas bekas menteri ‘berputih mata’, SPRM buka siasatan pemilikan RM250,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula membuka kertas siasatan berhubung pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri.

SPRM berkata, kertas siasatan berkenaan dibuka susulan aduan berhubung pemilikan wang itu.

“SPRM menerima aduan berhubung pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri seperti dilaporkan oleh media semalam.

“Siasatan terhadap aduan itu akan dibuat mengikut Akta SPRM 2009,” jelasnya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam seorang bekas menteri dilaporkan terpaksa berputih mata, apabila wang tunai RM250,000 yang disimpan dalam peti besi simpanan di kediamannya dekat Petaling Jaya disedari hilang.

Kehilangan wang itu disedari oleh Ahli Parlimen terbabit kira-kira 7 malam ketika memeriksa peti besi simpanan berkenaan.

Ekoran kejadian itu, siasatan polis membawa kepada penahanan wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumah di kediaman mangsa, kelmarin.