Selepas bertembung di S’wak, Pakatan mahu rapatkan semula saf

Selepas bertembung di S’wak, Pakatan mahu rapatkan semula saf

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak minggu lalu ekoran pertembungan sesama sendiri khususnya antara PKR dan DAP, Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini menzahirkan komitmen mahu memperkukuh semula muafakat ketiga-tiga parti.

Bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini, mereka berkata telah mendengar segala pandangan, keluhan dan kritikan daripada semua pihak berhubung prestasi mereka dalam PRN Sarawak yang lalu dan telah menetapkan bahawa satu penilaian yang tulus ikhlas dilakukan.

“Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan telah memulakan postmortem pada peringkat parti masing-masing.

“Kami bertekad untuk berkumpul semula (re-group) dan memfokus semula (re-focus) serta meningkatkan iltizam untuk meneruskan perjuangan ini demi rakyat Malaysia,” kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membacakan kenyataan bersama itu.

Turut hadir pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden itu termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir serta dari DAP Teresa Kok.

Majlis Presiden juga katanya akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh masa terdekat untuk mengenal pasti kesalahan, mengatasi segala kekurangan tersebut.

“Kami juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membetulkan dan memperbaiki organisasi dan strategi khususnya untuk berhadapan dengan gelanggang yang lebih besar, iaitu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.

TAGS