Malaysia Dateline

Selepas ‘buaya mendongak kepala’, ‘kasuari menyorok kepala’, Hadi rungkai hubungan dengan bukan Islam

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal merungkai hubungan masyarakat Muslim dan bukan Islam dalam konteks negara ini bersama tiga panel kaum Cina esok.

Selepas mengeluarkan kenyataan menggunakan perlambangan binatang seperti ‘buaya mendongak kepala’ dan ‘kasuari menyorok kepala’ baru-baru ini, Hadi akan muncul menerusi webinar dialog bersama NGO dan Youtuber kaum Cina.

Ahli Parlimen Marang yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu bakal muncul di HarakahTV esok jam 3 petang.

Pemilik akaun Facebook Ulasan Apek Cina tersohor atau nama sebenarnya, Zee How Tai antara ahli panel dalam dialog atas talian dimoderatorkan Dr Fuad Salleh itu.

Dua lagi ahli panel ialah Jason Leong dari pertubuhan Penganut Kristian untuk Keamanan dan Keharmonian di Malaysia (CPHM) dan Wong Choon Tat dari Persekutuan Bodhi Buddha Malaysia (BBFM).